Assalamualaikum wbt.
Menjadi seorang pelajar disamping tugasan hakiki selaku ibu, pekerja
bukanlah sesuatu yang mudah sebab bonda tahu, bonda bukan sejenis manusia multitasking.
Maka, penulisan kali ini adalah perkongsian tugasan yang telah bonda lakukan.
Sekiranya ada sesiapa yang berkehendak, silakan ambil sebagai rujukan.
Doakan bonda cemerlang gemilang duniakhirat.
Penulisan ini adalah tentang tugasan subjek GLUL3113 Undang-undang Pentadbiran.
Tajuk tugasan sama seperti tajuk entry bonda ni.
sebab bonda yakin semua rakyat sayang sangat-sangat dengan YDPA dan Permaisuri kita ni kan?
PENGENALAN
Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan
Demokrasi Berparlimen dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara. Perlembagaan Persekutuan telah digubal pada Perkara 181 Perlembagaan
Persekutuan dengan
mengadakan syarat-syarat serta
diberi kuasa tertentu untuk membolehkan pelaksanaan sistem Raja Berperlembagaan sebagai
sebahagian sistem pentadbiran serta mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi
Raja dalam Perlembagaan. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen
adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan iaitu
Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (Pentadbiran). Perlembagaan Persekutuan
menjadikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen berjalan
serentak, menjadi semak dan imbang antara satu sama lain.
Sama
seperti negara United Kingdom dan Belanda yang mengamalkan Raja
Berperlembagaan, raja adalah Ketua Negara namun kuasa terletak pada badan-badan
negara seperti kerajaan, perundangan dan mahkamah. Kuasa eksekutif dalam sistem
raja berperlembagaan termaktub dalam kerajaan manakala kuasa perundangan pada
Parlimen (atau Dewan Undangan Negeri) dan kuasa kehakiman pada mahkamah. Jika
Brunei dan Arab Saudi mengamalkan system monarki mutlak (absolute monarchy)
berbeda dengan sistem raja berperlembagaan di Malaysia. Negara raja
berperlembagaan menghadkan kuasa dan peranan raja pada apa yang termaktub dalam
perlembagaan.
Menurut Dr Shamrahayu A Aziz (11 April 2017),
menerusi Majlis Raja-Raja, Raja di
Malaysia mempunyai peranan besar bagi pelantikan jawatan penting Badan
Kehakiman, terutama pelantikan dan pemecatan hakim di Mahkamah Persekutuan.
Walaupun Raja miliki peranan melantik atau memecat ahli badan kehakiman dan
juga badan pelaksana, mereka hendaklah menjalankan tugas secara bebas daripada
pengaruh. Begitu juga peranan Raja berkaitan badan pelaksana. Raja
Berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peranan dalam
pindaan Perlembagaan. Perkara 159 (5) adalah contoh terbaik, yang mana beberapa
perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilakukan dengan
perkenan Majlis Raja-Raja.
Dalam soal demokrasi pula, demokrasi
sebenarnya berubah wajah mengikut tempat dan kesesuaian, walaupun ciri-ciri
asas seperti pilihan raya bebas dan adil serta wujudnya institusi Parlimen
adalah ciri wajib dalam semua demokrasi yang diamalkan. Demokrasi mungkin ada
amalan dan kesan berbeza dalam sistem yang mempunyai Perlembagaan bertulis dan
tidak bertulis. Perlembagaan tidak bertulis meletakkan Akta Parlimen sebagai
undang-undang tertinggi menzahirkan sistem 'Democratic Parliamentary Monarchy'.
Dalam sistem Raja dalam Demokrasi
Berparlimen, Raja memerintah tetapi tidak mentadbir; Raja cuma mendengar dan
'mentaati' keputusan demokrasi. Semua tugasan diangkat dan dilaksanakan
kerajaan yang dipilih menerusi Parlimen dan proses demokrasi atau pilihan raya.
Raja juga mempunyai beberapa peranan di luar demokrasi dalam tugasannya
melaksanakan peruntukan Perlembagaan. Seperti disebut dalam sumpah jawatan,
Raja hendaklah memerintah negara menurut peruntukan Perlembagaan, berpaksikan
kedaulatan undang-undang, menegakkan keadilan serta menjaga agama Islam. Oleh
itu, dalam menjaga keluhuran Perlembagaan, disebut dalam Perkara 130, Yang
di-Pertuan Agong boleh rujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapat apa-apa
soal kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berbangkit atau yang tampak
padanya mungkin berbangkit dan Mahkamah Persekutuan hendaklah umum pendapatnya
mengenai apa-apa soal yang dirujuk di mahkamah terbuka. Ini menjadikan
pandangan mahkamah telus dan bebas, sekali gus membantu Raja mendapatkan
pandangan, seterusnya menjadi Raja Berperlembagaan berwibawa (Berita Harian, 11
April 2017)
YANG DIPERTUAN AGONG
(YDPA)
‘Maka
hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang
Dipertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam
Persekutuan dan tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam
mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15’.
Ini adalah kenyataan dan keterangan perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan
yang menerangkan mengenai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan dan
Permaisurinya.
Jawatan
Yang Dipertuan Agong (YDPA) adalah satu jawatan baharu dan penting yang
menyerupai jawatan ‘Ratu’ di England namun kuasa Ratu itu tidak berpunca
daripada undang-undang tertinggi tetapi disokong amalan Perlembagaan sahaja.
England juga tidak mempunyai undang-undang bertulis sebaliknya hanya Akta
Parlimen sebagai undang-undang tertinggi. Jawatan Yang Dipertuan Agong tidak
boleh diwarisi secara turun temurun kerana Malaysia bukanlah kerajaan beraja
yang mutlak sebaliknya jawatan ini telah diwujudkan oleh Perlembagaan
Persekutuan. Manakala, pemilihan siapakah yang bakal bersemayam selama lima
tahun menjadi YDPA pula adalah kuasa di kalangan “Duli Yang Maha Mulia
Raja-Raja” mengikut peraturan dalam Jadual 3 Perlembagaan Persekutuan. Manakala
perlantikan seorang YDPA yang akan dibantu oleh seorang Timbalan YDPA pula,
adalah pilihan dan persetujuan Majlis Raja-Raja (MRR). Isteri YDPA digelar Raja
Permaisuri Agong dan mempunyai keutamaan selepas Yang di Pertuan Agong [Perkara
32(2)]. Yang Dipertuan Agong boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa
dengan mengutus surat yang ditandatanganinya kepada Majlis Raja-raja. Baginda
juga boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-raja. Dalam pada itu,
jawatan Yang Dipertuan Agong yang dipegang itu akan terhenti jika baginda
terhenti daripada menjadi seorang Raja.
Seperti
yang telah diterangkan pada perenggan kedua, pemilihan YDPA dibuat oleh Majlis
Raja-raja. Jadual Ketiga Perelmbagaan Persekututan dan Peraturan-peraturan
Majlis Raja-raja telah menetapkan kaedah dan cara pemilihan YDPA. Antara ciri-ciri
kelayakan yang termaktub dalam Jadual Ketiga pemilihan Yang Dipertuan Agong ialah
(i) hanya Raja-raja sahaja yang boleh dipilih, (ii) hanya Raja-raja sahaja yang
boleh mengundi dan (iii) Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan
hendaklah dipilih. Setiap Raja Melayu berkelayakan untuk dipilih menjadi YDPA
melainkan atas tiga perkara, (i) baginda tidak cukup umur, (ii) memaklumkan
kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (PMBRR) bahawa baginda tidak berhasrat
untuk dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong atau (iii) Majlis Raja-raja
mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa raja itu adalah tidak sesuai untuk
menjalankan fungsi-fungsi Yang DiPertuan Agong asbab kegeringan, kelemahan akal
atau sebab-sebab lain yang munasabah [Perkara 32(3)]. Ketetapan ini memerlukan
undian sekurang-kurangnya lima ahli Majlis.
Pemilihan YDPA oleh MRR adalah melalui proses pengundian. Penyimpan
Mohor Besar Raja-raja akan memberikan kertas undi kepada setiap raja. Sembilan
undi rahsia dalam kalangan sembilan sultan dan raja-raja Melayu akan menandakan pendapatnya sama ada raja yang
paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai
Yang Dipertuan Agong. Menurut Pakar Perlembagaan Dr Muhammad Fathi
Yusof, pada pusingan pertama dulu, sistem penggiliran dibuat berdasarkan
kekananan (senioriti), umur dan tempoh sultan memegang jawatan di negeri asal
sebelum dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pada pusingan kedua pula, enam
Sultan yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong mengikut urutan pusingan
pertama seperti dipersetujui MRR setakat ini. Begitupun dari segi Perlembagaan,
ia tidak mengikat MRR untuk mengikut urutan seperti pusingan pertama, sebab itu
adanya undi rahsia dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong (My Metro, 8
Januari 2019). Calon
itu mesti mendapat sekurang-kurangnya lima undi menyokong untuk melayakkan
baginda terpilih menjadi Yang Dipertuan Agong. Setelah mendapat undi majoriti,
maka raja yang menjadi pengerusi Mesyuarat Pemilihan akan menawarkan jawatan
Yang Dipertuan Agong kepada baginda. Namun, sekiranya raja yang berjaya itu
menolak tawaran sebagai Yang Dipertuan Agong atau pun jika gagal memperolehi
undi majoriti, proses pengundian semula perlu dijalankan dengan mencalonkan
nama raja yang kedua dari segi kekananan untuk diundi. Proses pemilihan itu
hanya akan selesai setelah calon yang mendapat undi majoriti bagi jawatan Yang
Dipertuan Agong menerima tawaran itu. Selepas itu baharulah Majlis Raja-raja
akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong bagi tempoh lima
tahun.
Felo Penyelidik
Undang-undang dan Perlembagaan di Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi
(CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi menjelaskan,
Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya boleh dilantik terus sebagai
Yang diPertuan Agong walaupun pernah memangku tugas itu sebelum itu. MRR akan
bersidang dan menentukan Sultan dari negeri mana yang akan dipilih serta
dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong. Manakala, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab
Aziz yang merupakan pakar Perlembagaan turut berpendapat, hanya MRR dan
persetujuan sultan yang dipilih untuk menentukan siapa Yang di-Pertuan Agong
baharu. Proses pelantikan Yang di-Pertuan Agong bergantung kepada budi bicara
MRR mengikut Peraturan 32 dibaca Peraturan 38 dan ini adalah satu perkara yang
ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya lagi, Timbalan Yang
di-Pertua Agong tidak semestinya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, ia
hendaklah melalui proses ditetapkan perlembagaan dan undang-undang serta
memerlukan pemilihan (My Metro, 8 Januari 2019).
Menurut
Perkara 34 Perlembagaan Malaysia, ketika seseorang Sultan/ Raja menaiki takhta
YDPA, baginda tidak boleh menjalankan tugas-tugas di negerinya kecuali
tugas-tugas selaku ketua agam Islam dalam negerinya, tugas dan kuasa yang
berkaitan dengan pindaan perlembagaan negerinya serta tugas dan kuasa melantik
seorang pemangku raja dan anggota-angota Majlis Pangkuan Raja. Perkara 34 juga
turut menyatakan beberapa perkara lain yang tidak boleh dilakukan oleh seorang
YDPA iaitu tidak boleh secara aktif terlibat dalam perniagaan, tidak boleh
menerima emolumen daripada negeri Baginda, tidak boleh meninggalkan negara
lebih daripada 15 hari tanpa persetujuan MRR kecuali atas lawatan rasmi dan
juga tidak boleh memegang sebarang jawatan kerajaan.
Sejak
merdeka sehingga ke hari ini, Malaysia telah melantik seramai 15 orang Sultan
dan Raja secara bergilir-gilir untuk ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong
walaupun telah terdapat 16 YDPA di Malaysia. Hal ini kerana, pertabalan Al-Marhum
Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah sebagai
YDPA ke-14 pada tahun 2012, telah melakar sejarah baharu kerana baginda menjadi
sultan pertama yang memegang jawatan sebagai YDPA sebanyak dua kali. Al-Marhum
Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih menjadi YDPA kali pertama pada
21 September 1970 sebagai YDPA kelima. Manakala YDPA kali kedua disandang pada
13 Disember 2011 selaku YDPA ke-14. Satu-satunya YDPA yang menaiki takhta tanpa
Raja Permaisuri Agong ialah Tengku Muhammad Faris Petra ataupun Sultan Muhamad
V yang merupakan YDPA ke-15. YDPA pertama Malaysia ialah Al-Marhum Tuanku Abdul
Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad yang telah berkhidmat bermula 3 Ogos 1957
sehinga 1 April 1960. Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pula adalah YDPA ke-16 sejak 31
Januari 2019 yang lalu sehingga ke hari ini.
Sebelum
bersemayam sebagai Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah terlebih dahulu dimasyhurkan menjadi
Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019 hasil keputusan sebulat suara
mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang. Baginda dimasyurkan bagi
menggantikan Sultan Ahmad Shah yang dilaporkan dalam keadaan gering dan tidak
lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah. Al-Sultan Abdullah
yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan adalah
cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah bersama Almarhum Tengku
Ampuan Afzan Tengku Muhammad. Baginda pernah memangku jawatan Pemangku Raja
Pahang ketika berusia 20 tahun pada 28 April 1979 semasa ayahanda baginda
ditabal Yang di-Pertuan Agong pada 1979-1984. Pada 28 Disember 2016, baginda
sekali lagi dipertanggungjawabkan menjadi Pemangku Raja Pahang sehingga 11
Januari 2019 setelah Sultan Ahmad Shah gering.
Sultan Abdullah yang dimasyhurkan
Sultan Pahang keenam telah memakai gelaran rasmi sebagai Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Menurut Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, penggunaan perkataan
'Al' di hadapan nama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah adalah mengikut nahu
Arab yang tepat. Tambahnya lagi, Al-Sultan Abdullah telah mempersetujui
penggunaan nama itu kerana mengambil kira ketepatan nahu Arab, berbeza daripada
kebiasaan orang Melayu yang terus menyebut 'Sultan'. Nama Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bermaksud ‘Sultan Abdullah Pembela
Agama Yang Terpilih Oleh Allah’ adalah pemilihan baginda sendiri (BH Online,
17 Januari 2019).
Ini baharu bahagian pertama, bonda akan sambung dalam bahagian kedua di bawah tajuk:
Tugas-tugas YDPA
Di bahagian akhir penulisan ini,
bonda akan titipkan rujukan yang bonda buat dalam penulisan tugasan ni.