Followers

Saturday, November 28, 2020

#pjj : Yang DiPertuan Agong & Sultan dan Raja Melayu

Assalamualaikum wbt.

Menjadi seorang pelajar disamping tugasan hakiki selaku ibu, pekerja

bukanlah sesuatu yang mudah sebab bonda tahu, bonda bukan sejenis manusia multitasking.

Maka, penulisan kali ini adalah perkongsian tugasan yang telah bonda lakukan.

Sekiranya ada sesiapa yang berkehendak, silakan ambil sebagai rujukan.

Doakan bonda cemerlang gemilang duniakhirat.


Penulisan ini adalah tentang tugasan subjek GLUL3113 Undang-undang Pentadbiran.

Tajuk tugasan sama seperti tajuk entry bonda ni.


sebab bonda yakin semua rakyat sayang sangat-sangat dengan YDPA dan Permaisuri kita ni kan?


PENGENALAN

Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.  Perlembagaan Persekutuan telah digubal pada Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan dengan mengadakan syarat-syarat serta diberi kuasa tertentu untuk membolehkan pelaksanaan sistem Raja Berperlembagaan sebagai sebahagian sistem pentadbiran serta mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi Raja dalam Perlembagaan. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (Pentadbiran). Perlembagaan Persekutuan menjadikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen berjalan serentak, menjadi semak dan imbang antara satu sama lain.

 Sama seperti negara United Kingdom dan Belanda yang mengamalkan Raja Berperlembagaan, raja adalah Ketua Negara namun kuasa terletak pada badan-badan negara seperti kerajaan, perundangan dan mahkamah. Kuasa eksekutif dalam sistem raja berperlembagaan termaktub dalam kerajaan manakala kuasa perundangan pada Parlimen (atau Dewan Undangan Negeri) dan kuasa kehakiman pada mahkamah. Jika Brunei dan Arab Saudi mengamalkan system monarki mutlak (absolute monarchy) berbeda dengan sistem raja berperlembagaan di Malaysia. Negara raja berperlembagaan menghadkan kuasa dan peranan raja pada apa yang termaktub dalam perlembagaan.

 Menurut Dr Shamrahayu A Aziz (11 April 2017), menerusi Majlis Raja-Raja, Raja di Malaysia mempunyai peranan besar bagi pelantikan jawatan penting Badan Kehakiman, terutama pelantikan dan pemecatan hakim di Mahkamah Persekutuan. Walaupun Raja miliki peranan melantik atau memecat ahli badan kehakiman dan juga badan pelaksana, mereka hendaklah menjalankan tugas secara bebas daripada pengaruh. Begitu juga peranan Raja berkaitan badan pelaksana. Raja Berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peranan dalam pindaan Perlembagaan. Perkara 159 (5) adalah contoh terbaik, yang mana beberapa perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilakukan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Dalam soal demokrasi pula, demokrasi sebenarnya berubah wajah mengikut tempat dan kesesuaian, walaupun ciri-ciri asas seperti pilihan raya bebas dan adil serta wujudnya institusi Parlimen adalah ciri wajib dalam semua demokrasi yang diamalkan. Demokrasi mungkin ada amalan dan kesan berbeza dalam sistem yang mempunyai Perlembagaan bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan tidak bertulis meletakkan Akta Parlimen sebagai undang-undang tertinggi menzahirkan sistem 'Democratic Parliamentary Monarchy'.

 Dalam sistem Raja dalam Demokrasi Berparlimen, Raja memerintah tetapi tidak mentadbir; Raja cuma mendengar dan 'mentaati' keputusan demokrasi. Semua tugasan diangkat dan dilaksanakan kerajaan yang dipilih menerusi Parlimen dan proses demokrasi atau pilihan raya. Raja juga mempunyai beberapa peranan di luar demokrasi dalam tugasannya melaksanakan peruntukan Perlembagaan. Seperti disebut dalam sumpah jawatan, Raja hendaklah memerintah negara menurut peruntukan Perlembagaan, berpaksikan kedaulatan undang-undang, menegakkan keadilan serta menjaga agama Islam. Oleh itu, dalam menjaga keluhuran Perlembagaan, disebut dalam Perkara 130, Yang di-Pertuan Agong boleh rujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapat apa-apa soal kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit dan Mahkamah Persekutuan hendaklah umum pendapatnya mengenai apa-apa soal yang dirujuk di mahkamah terbuka. Ini menjadikan pandangan mahkamah telus dan bebas, sekali gus membantu Raja mendapatkan pandangan, seterusnya menjadi Raja Berperlembagaan berwibawa (Berita Harian, 11 April 2017)

 

YANG DIPERTUAN AGONG (YDPA)

‘Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang Dipertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15’. Ini adalah kenyataan dan keterangan perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menerangkan mengenai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan dan Permaisurinya.

Jawatan Yang Dipertuan Agong (YDPA) adalah satu jawatan baharu dan penting yang menyerupai jawatan ‘Ratu’ di England namun kuasa Ratu itu tidak berpunca daripada undang-undang tertinggi tetapi disokong amalan Perlembagaan sahaja. England juga tidak mempunyai undang-undang bertulis sebaliknya hanya Akta Parlimen sebagai undang-undang tertinggi. Jawatan Yang Dipertuan Agong tidak boleh diwarisi secara turun temurun kerana Malaysia bukanlah kerajaan beraja yang mutlak sebaliknya jawatan ini telah diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Manakala, pemilihan siapakah yang bakal bersemayam selama lima tahun menjadi YDPA pula adalah kuasa di kalangan “Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja” mengikut peraturan dalam Jadual 3 Perlembagaan Persekutuan. Manakala perlantikan seorang YDPA yang akan dibantu oleh seorang Timbalan YDPA pula, adalah pilihan dan persetujuan Majlis Raja-Raja (MRR). Isteri YDPA digelar Raja Permaisuri Agong dan mempunyai keutamaan selepas Yang di Pertuan Agong [Perkara 32(2)]. Yang Dipertuan Agong boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa dengan mengutus surat yang ditandatanganinya kepada Majlis Raja-raja. Baginda juga boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-raja. Dalam pada itu, jawatan Yang Dipertuan Agong yang dipegang itu akan terhenti jika baginda terhenti daripada menjadi seorang Raja.

Seperti yang telah diterangkan pada perenggan kedua, pemilihan YDPA dibuat oleh Majlis Raja-raja. Jadual Ketiga Perelmbagaan Persekututan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja telah menetapkan kaedah dan cara pemilihan YDPA. Antara ciri-ciri kelayakan yang termaktub dalam Jadual Ketiga pemilihan Yang Dipertuan Agong ialah (i) hanya Raja-raja sahaja yang boleh dipilih, (ii) hanya Raja-raja sahaja yang boleh mengundi dan (iii) Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan hendaklah dipilih. Setiap Raja Melayu berkelayakan untuk dipilih menjadi YDPA melainkan atas tiga perkara, (i) baginda tidak cukup umur, (ii) memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (PMBRR) bahawa baginda tidak berhasrat untuk dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong atau (iii) Majlis Raja-raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa raja itu adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang DiPertuan Agong asbab kegeringan, kelemahan akal atau sebab-sebab lain yang munasabah [Perkara 32(3)]. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima ahli Majlis.

Pemilihan YDPA oleh MRR adalah melalui proses pengundian. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan memberikan kertas undi kepada setiap raja. Sembilan undi rahsia dalam kalangan sembilan sultan dan raja-raja Melayu akan menandakan pendapatnya sama ada raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang Dipertuan Agong. Menurut Pakar Perlembagaan Dr Muhammad Fathi Yusof, pada pusingan pertama dulu, sistem penggiliran dibuat berdasarkan kekananan (senioriti), umur dan tempoh sultan memegang jawatan di negeri asal sebelum dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pada pusingan kedua pula, enam Sultan yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong mengikut urutan pusingan pertama seperti dipersetujui MRR setakat ini. Begitupun dari segi Perlembagaan, ia tidak mengikat MRR untuk mengikut urutan seperti pusingan pertama, sebab itu adanya undi rahsia dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong (My Metro, 8 Januari 2019). Calon itu mesti mendapat sekurang-kurangnya lima undi menyokong untuk melayakkan baginda terpilih menjadi Yang Dipertuan Agong. Setelah mendapat undi majoriti, maka raja yang menjadi pengerusi Mesyuarat Pemilihan akan menawarkan jawatan Yang Dipertuan Agong kepada baginda. Namun, sekiranya raja yang berjaya itu menolak tawaran sebagai Yang Dipertuan Agong atau pun jika gagal memperolehi undi majoriti, proses pengundian semula perlu dijalankan dengan mencalonkan nama raja yang kedua dari segi kekananan untuk diundi. Proses pemilihan itu hanya akan selesai setelah calon yang mendapat undi majoriti bagi jawatan Yang Dipertuan Agong menerima tawaran itu. Selepas itu baharulah Majlis Raja-raja akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong bagi tempoh lima tahun.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan di Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi menjelaskan, Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya boleh dilantik terus sebagai Yang diPertuan Agong walaupun pernah memangku tugas itu sebelum itu. MRR akan bersidang dan menentukan Sultan dari negeri mana yang akan dipilih serta dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong. Manakala, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz yang merupakan pakar Perlembagaan turut berpendapat, hanya MRR dan persetujuan sultan yang dipilih untuk menentukan siapa Yang di-Pertuan Agong baharu. Proses pelantikan Yang di-Pertuan Agong bergantung kepada budi bicara MRR mengikut Peraturan 32 dibaca Peraturan 38 dan ini adalah satu perkara yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya lagi, Timbalan Yang di-Pertua Agong tidak semestinya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, ia hendaklah melalui proses ditetapkan perlembagaan dan undang-undang serta memerlukan pemilihan (My Metro, 8 Januari 2019). 

Menurut Perkara 34 Perlembagaan Malaysia, ketika seseorang Sultan/ Raja menaiki takhta YDPA, baginda tidak boleh menjalankan tugas-tugas di negerinya kecuali tugas-tugas selaku ketua agam Islam dalam negerinya, tugas dan kuasa yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan negerinya serta tugas dan kuasa melantik seorang pemangku raja dan anggota-angota Majlis Pangkuan Raja. Perkara 34 juga turut menyatakan beberapa perkara lain yang tidak boleh dilakukan oleh seorang YDPA iaitu tidak boleh secara aktif terlibat dalam perniagaan, tidak boleh menerima emolumen daripada negeri Baginda, tidak boleh meninggalkan negara lebih daripada 15 hari tanpa persetujuan MRR kecuali atas lawatan rasmi dan juga tidak boleh memegang sebarang jawatan kerajaan.

Sejak merdeka sehingga ke hari ini, Malaysia telah melantik seramai 15 orang Sultan dan Raja secara bergilir-gilir untuk ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong walaupun telah terdapat 16 YDPA di Malaysia. Hal ini kerana, pertabalan Al-Marhum Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah sebagai YDPA ke-14 pada tahun 2012, telah melakar sejarah baharu kerana baginda menjadi sultan pertama yang memegang jawatan sebagai YDPA sebanyak dua kali. Al-Marhum Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih menjadi YDPA kali pertama pada 21 September 1970 sebagai YDPA kelima. Manakala YDPA kali kedua disandang pada 13 Disember 2011 selaku YDPA ke-14. Satu-satunya YDPA yang menaiki takhta tanpa Raja Permaisuri Agong ialah Tengku Muhammad Faris Petra ataupun Sultan Muhamad V yang merupakan YDPA ke-15. YDPA pertama Malaysia ialah Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad yang telah berkhidmat bermula 3 Ogos 1957 sehinga 1 April 1960. Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pula adalah YDPA ke-16 sejak 31 Januari 2019 yang lalu sehingga ke hari ini. 

Sebelum bersemayam sebagai Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah terlebih dahulu dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019 hasil keputusan sebulat suara mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang. Baginda dimasyurkan bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah yang dilaporkan dalam keadaan gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah. Al-Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan adalah cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah bersama Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad. Baginda pernah memangku jawatan Pemangku Raja Pahang ketika berusia 20 tahun pada 28 April 1979 semasa ayahanda baginda ditabal Yang di-Pertuan Agong pada 1979-1984. Pada 28 Disember 2016, baginda sekali lagi dipertanggungjawabkan menjadi Pemangku Raja Pahang sehingga 11 Januari 2019 setelah Sultan Ahmad Shah gering.

Sultan Abdullah yang dimasyhurkan Sultan Pahang keenam telah memakai gelaran rasmi sebagai Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Menurut Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, penggunaan perkataan 'Al' di hadapan nama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah adalah mengikut nahu Arab yang tepat. Tambahnya lagi, Al-Sultan Abdullah telah mempersetujui penggunaan nama itu kerana mengambil kira ketepatan nahu Arab, berbeza daripada kebiasaan orang Melayu yang terus menyebut 'Sultan'. Nama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bermaksud ‘Sultan Abdullah Pembela Agama Yang Terpilih Oleh Allah’ adalah pemilihan baginda sendiri (BH Online, 17 Januari 2019).


Ini baharu bahagian pertama, bonda akan sambung dalam bahagian kedua di bawah tajuk:

Tugas-tugas YDPA

Di bahagian akhir penulisan ini,

bonda akan titipkan rujukan yang bonda buat dalam penulisan tugasan  ni.

No comments:

Designed by UMIESUEstudio 2014 FOR INSYIMANHAFIZ