Followers

Saturday, November 28, 2020

#pjj : Tugas-tugas YDPA

TUGAS-TUGAS YANG DIPERTUAN AGONG


Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua negara Malaysia yang menjadi punca kepada segala kuasa. Selain berperanan selaku ketua negara, YDPA juga adalah ketua bagi raja-raja dan Majlis Raja-raja. Segala kuasa pemerintahan YDPA adalah berpandukan Perlembagaan yang menjadi lambang kedaulatan undang-undang yang merupakan tunggak perpaduan. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, YDPA merupakan ketua kepada tiga fungsi pemerintahan iaitu (i) fungsi perundangan, (ii) fungsi eksekutif dan juga (iii) fungsi kehakiman yang dibatasi oleh Perlembagaan. Oleh kerana kuasa YDPA termaktub dalam Perlrembagaan, YDPA dineknali sebagai Raja Berperlembagaan dan menjalankan kuasanya menurut Perlembagaan dan undang-undang Persekutuan. Selain itu, dalam Perkara 40 (2) secara khusus dinyatakan YDPA mempunyai kuasa budi bicara terhadap perlantikan Perdana Menteri, pembubaran Parlimen dan meminta untuk diadakan Mesyuarat Majlis Raja-raja.

 

(i)  Fungsi Perundangan

Perkara 40 (2b) menyatakan, YDPA berkuasa memanggil Parlimen bersidang, menangguh dan juga membubarkan Parlimen.  Termaktub dalam Perkara 60, YDPA boleh bertitah dalam Majlis Parlimen untuk merasmi/ membuka sidang atau kedua-dua dewan secara bersama mahupun berasingan. Perkara 66 (4), (4a), (5) dan (6) serta Perkara 68, YDPA adalah diperlukan untuk meluluskan undang-undang di Parlimen, sebelum satu Rang Undang-Undang (RUU) hendak diwartakan dan menjadi undang-undang yang sah.

 

(ii) Fungsi Eksekutif

Selain berfungsi kepada Parlimen dari segi perundangan, YDPA juga turut bertanggungjawab kepada cabang paksi pemerintahan yang dinamakan badan Eksekutif seperti diperuntukkan dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Malaysia, 2011: 47). Lazimnya, badan eksekutif ini merujuk kepada Kabinet ataupun Jemaah Menteri. Oleh itu, berpaksikan Perkara 39 dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, YDPA berkuasa melantik Perdana Menteri, Menteri-menteri, duta dan lain-lain jawatan pentadbiran untuk menjalankan pemerintahan negara bagi pihaknya. Namun bidang kuasa YDPA hanya layak melucutkan jawatan Menteri-menteri tetapi tidak jawatan Perdana Menteri - Perkara 43 (5). Perkara 40 (1) pula menyatakan YDPA adalah berhak, atas permintaannya mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri. Namun, segala tindakan YDPA yang dibatasi Perlembagaan Persekutuan ini dilaksana dengan nasihat Perdan Menteri.

 

(iii) Fungsi Kehakiman

Merujuk Perkara 122, YDPA adalah berkuasa untuk melantik Ketua Hakim Negara, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim-hakim Besar dan Hakim Mahkamah Tinggi. Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), YDPA juga berkuasa bagi mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman mengenai kesalahan yang telah dibicarakan di Mahkamah Tentera, kesalahan sivil di Wilayah Persekutuan dan hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Syariah di negeri-negeri YDPA bertindak sebagai Ketua Agama Islam, Perkara 42 (1).

 

Selain bertanggungjawab kepada Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman, YDPA juga merupakan ketua agama bagi empat negeri yang tidak beraja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta tiga wilayah persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan. Perkara 153 (1) pula menyatakan YDPA juga adalah bertanggungjawab memelihara, melindungi dan menjaga hak-hak kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perlembagaan. YDPA juga adalah berkuasa mengisytiharkan darurat dan memperkenalkan undang-undang darurat.


Bersambung ke tajuk Sultan & Raja Melayu

No comments:

Designed by UMIESUEstudio 2014 FOR INSYIMANHAFIZ