Followers

Saturday, November 28, 2020

#pjj : Sultan dan Raja Melayu

SULTAN DAN RAJA MELAYU



Jika di peringkat Persekutuan, Yang Dipertuan Agong adalah ketua negara, di peringkat negeri pula, Sultan atau Raja merupakan ketua negeri. Bagi negeri yang tidak beraja, ketua negeri ialah Yang Dipertua Negeri yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong. Dalam Perlembagaan Negeri-negeri Melayu, Sultan merupakan Ketua Negerinya kecuali Perlembagaan Negeri Sembilan. Walaupun Sultan atau Raja mempunyai kuasa eksekutif negeri namun, kuasa tersebut perlu dilaksanakan mengikut nasihat Majlis Mesyuarat atau Ketua Menteri atau Menteri Besar. Kuasa-kuasa lain yang dipunyai Sultan atau Raja juga adalah kuasa pengampunan. Sultan mempunyai kuasa mengampun dan menangguhkan hukuman kepada mereka yang telah disabitkan dengan kesalahan yang dilakukan di dalam negerinya. Selain itu, Sultan juga mempunyai kuasa untuk membuat perlantikan di bawah Perlembagaan Negeri dan Undang-undang Negeri. Oleh kerana Sultan dikenali sebagai tonggak kehormata dan keadilan, baginda mempunyai hak kedaulatan untuk menganugerahi pingat dan bintang kehormatan kepada sesiapa yang baginda sukai apabila keadaan memerlukan.

 

Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan ada menterjemahkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Raja-raja bagi setiap negeri. Menurut Perkara 71, Bahagian 1, Peruntukan Tetap: Raja bertindak berdasarkan nasihat. Apabila menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Negeri ini atau mana-mana undang-undang atau sebagai anggota Majlis Raja-raja, raja dikehendaki bertindak mengikut nasihat atau atas nasihat maka Raja hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

 

Raja boleh bertindak menurut budi bicaranya pada menjalankan tugas-tugas yang berikut (selain daripada tugas-tugas tersebut, bagina juga boleh bertindak menurut budi bicaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu melantik seorang Menteri Besar, tidak mempersetujui pembubaran Dewan Undangan Negeri,  meminta supaya dijalankan suatu Mesyuarat Majlis Raja-raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja atau perbuatan, amalan atau upacara keagamaan, apa-apa tugas sebagai Ketua Agama Islam aatau mengenai Adat istiadat Melayu, melantik waris atau waris-waris, Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja, melantik orang memegang pangkat, gelaran kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu dan menetapkan tugas-tugas berkenaan dengannya dan juga membuat peraturan-peraturan mengenai balai-balai diraja dan istana-istana.

No comments:

Designed by UMIESUEstudio 2014 FOR INSYIMANHAFIZ