Followers

Saturday, November 28, 2020

#pjj : Isu (Sultan dan Raja-raja Melayu)

Ini adalah sekadar penulisan hasil pembacaan bonda bagi menjawab persoalan tugasan bonda.

Sejujurnya bonda sendiri kurang pasti kronologi isu ini

Harapnya tiada sebarang perbalahan dengan perkongsian ini

kerana ini adalah bahagian terakhir perkongsian bonda


Pada sekitar tahun 2009 hinga 2010, Istana Kelantan telah bergolak dengan episod Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Fakhry mencabar kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra di Mahkamah Tinggi. Tengku Fakhry mencabar keputusan kekandanya, Pemangku Sultan Kelantan yang membatalkan kedudukan beliau selaku Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Tinggi. Mengikut sejarah, Tengku Muhammad Faris Petra telah membatalkan keahlian Tengku Fakhry pada 16 Septmeber 2009.

Pergolakan tercetus tatkala Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra disahkan gering oleh panel pakar perubatan yang dilantik oleh kerajaan negeri Serambi Mekah itu. Pada 24 Mei 2009 pula, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) sebagai Pemangku Raja Kelantan mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan. Pemangkuan ini ekoran Sultan Kelantan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua. Kerajaan negeri Kelantan tetap teguh berpegang kepada Perlembagaan negeri Kelantan yakni Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja yang sah sehinga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang. Walaupun dalam pada masa yang sama, ada pihak lain telah mengisytiharkan pemangkuan itu telah digugurkan.

 Majlis Perajaan Negeri adalah badan yang bertanggungjawab mengesahkan penabalan waris dan kedaulatan kerajaan negeri Serambi Mekah itu selain menentukan kekosongan takhta jika sultan tidak dapat menjalankan tugasnya dalam tempoh masa yang lama atas sebab-sebab tertentu. Tengku Muhammad Fakhry, merupakan anakanda ketiga Sultan Kelantan dan merupakan salah seorang waris bagi takhta di istana negeri. Beliau dipilih oleh ayahandanya menganggotai majlis berkenaan kira-kira lapan tahun lalu (2001).

 Dalam sebutan kes di Mahkamah Tinggi pada 27 Januari 2010, Ketua peguam K. Shanmuga yang mewakili Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Fakhry berkata, tindakan Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra, dilihat dalam keadaan tertentu sebagai cubaan merampas kuasa sultan. Perlembagan negeri Kelantan jelas menyatakan, hanya sultan yang berhak mengubah kedudukan ahli di dalam majlis tersebut. Tengku Mahkota hanya memangku takhta selama mana sultan uzur. Sultan Kelantan disahkan gering sejak Mei 2009 yang menyebabkan Tengku Mahkota dilantik sebagai pemangku pada 25 Mei 2009. Baginda dimasukkan ke hospital di Singapura sejak bulan itu tetapi baginda dilaporkan semakin pulih. Shanmuga menambah, memang Tengku Mahkota merupakan pewaris utama takhta Kelantan namun pelantikannya bukan secara automatik sebaliknya perlu disahkan kedaulatan pemerintahannya oleh Majlis Perajaan Negeri. “Jika beliau tidak disahkan, maka adiknya Tengku Bendahara sebagai pewaris kedua berhak disahkan oleh majlis berkenaan dan jika itu tidak berlaku maka pewaris seterusnya iaitu Tengku Temenggong berhak mewarisi takhta,” jelasnya lagi.

 Dalam permohonan yang difailkan pada 1 Disember 2009 itu, Tengku Muhammad Fakhry menamakan kekandanya, Tengku Mahkota; kerajaan negeri, setiausaha Majlis Perajaan Negeri dan lima yang lain iaitu ahli majlis terbabit yang dilantik oleh pemangku sultan pada 24 Mei 2009 sebagai responden dengan mendakwa bahawa Tengku Mahkota dipilih oleh majlis berdasarkan Artikel 22A Perlembagaan Kelantan semasa sultan tidak berupaya menghadiri hal ehwal kerajaan negeri. Beliau turut mendakwa pernah menulis surat pada 25 Oktober 2009 kepada setiausana majlis bagi mendapat penjelasan mengenai tindakan melucutkan kedudukannya dalam majlis dan surat itu dijawab pada 26 Oktober dengan menyebut bahawa ia adalah perintah Tengku Mahkota. Selain itu, putera sultan berkenaan meminta mahkamah membatalkan keputusan tersebut atau mengisytiharkan bahawa pembatalan perlantikan adalah bertentangan dengan perlembagaan negeri.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Datin Azizah Nawawi yang mewakili kerajaan negeri Kelantan dalam bantahannya berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengadili isu berkenaan kerana keputusan Pemangku Raja melucutkan keanggotaan Tengku Muhammad daripada Majlis Perajaan Negeri Kelantan, adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan. Beliau juga menggesa mahkamah untuk menolak permohonan mendapatkan kebenaran berasaskan kepada prerogatif Pemangku Raja mengikut Perkara 5 Perlembagaan Kelantan mengenai pelantikan dan pembatalan anggota Majlis adalah tidak boleh diadili. Beliau turut membantah permohonan bagi semakan penghakiman yang difailkan oleh Tengku Muhammad Fakhry, bagi membatalkan keputusan Tengku Muhammad Faris pada 16 September lepas dan satu deklarasi bahawa pembatalan itu adalah bercanggah dengan Perkara 7 Perlembagaan Kelantan.

Pada 29 Januari 2010, Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa tindakan Pemangku Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra menyingkirkan adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada Majlis Perajaan Negeri itu tidak boleh disemak semula. Menurut Hakim Mohamad Ariff Md Yusof, sebuah mahkamah undang-undang bukanlah forum yang sesuai bagi membuat keputusan mengenai isu membabitkan hak istimewa diraja kerana sebarang pertikaian perlu diselesaikan sendiri oleh Sultan Kelantan.

Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, telah mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris menyingkirkannya daripada Majlis Perajaan Kelantan pada 16 September 2009. Mengikut Perkara 5 Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, majlis itu bertanggungjawab mengesahkan waris takhta dan menentukan sama ada terdapat kekosongan pada takhta disebabkan ketiadaan Sultan di negeri itu untuk tempoh lebih dari setahun.

Dalam penghakiman tersebut, Hakim Mohamad Ariff memutuskan isu mengenai kedaulatan, hak dan kuasa diraja akan tetap dipelihara dan diakui oleh kedua-dua Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. "Artikel 62 Perlembagaan Kelantan menjelaskan sentimen sama di mana ia menyatakan prosiding di mahkamah tidak akan menjejaskan hak, kuasa diraja, bidang kuasa sultan dan kedaulatannya. Dengan jelas di sini kita membicarakan mengenai hak keistimewaan diraja yang tidak sesuai disemak semula oleh mahkamah ini," katanya.

Mengenai hujah yang dibangkitkan peguam Tengku Muhammad Fakhry bahawa Pemangku Raja itu tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tugas sebagai Sultan apabila membatalkan pelantikan beliau sebagai anggota Majlis, dan dengan berbuat demikian telah berlaku satu rampasan kuasa oleh pihak berkuasa atau oleh Pemangku Raja, mahkamah itu berkata: "Tempoh "Yang Amat Mulia Diraja" dalam Perkara 4 Perlembagaan Kelantan adalah ditakrifkan untuk termasuk pengganti dan pendahulu untuk raja, yang dalam kes ini, Pemangku Raja."

Hakim Mohamad Ariff berkata Tengku Muhammad Faris, dilantik sebagai Pemangku Raja pada 2001 apabila Sultan Ismail Petra tidak berupaya akibat gering, Pemangku Raja boleh melaksanakan fungsi-fungsi Sultan tanpa had semasa tempoh tersebut. Mahkamah ketika menolak permohonan semakan kehakiman itu juga memerintahkan Tengku Muhammad Fakhry untuk membayar kos kepada responden.

 

KESIMPULAN

Konklusinya, dalam sistem Raja Berperlembagaan, institusi Raja di Malaysia masih ada peranan penting dalam beberapa urusan atau pentadbiran negara seperti dimaktubkan Perlembagaan.  Namun, YDPA dan MRR juga tidak kebal dari undang-undang. YDPA adalah salah satu daripada lima badan perundangan (Legislatif) yang berada dalam negara Malaysia. Walaupun YDPA adalah ketua negara yang melantik ketua kerajaan namun segala keputusan yang dibuat oleh YDPA perlu berlandaskan Perlembagaan atas nasihat ketua kerajan.






RUJUKAN

Abdul Aziz Bari. 2002. Cabinet Principles in Malaysia: The Law and Practice (2nd ed.). Kuala Lumpur: Other Press.

BERNAMA. (2009). Dari Krisis Rumah Tangga Ke Krisis Perebutan Takhta. 16 Disember. Mstar

BERNAMA. (2010). Adakah Kemelut Istana Hampir Penghujungnya. 11 Mei. Mstar

BERNAMA. (2010). Keputusan Mahkamah Adili Kes Pelucutan Tengku Fakhry Pada Jumaat. 27 Januari. Mstar

BERNAMA. (2010). Tengku Fakhry Petra Gagal Cabar Keputusan Pemangku Raja Kelantan. 29 Januari. Mstar

BERNAMA. (2019). Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Gelaran Rasmi. 15 Januari. BH Online

BERNAMA. (2019). Mufti Pahang jelas maksud ‘Al’ pada nama Sultan Pahang. 17         Januari. BH Online

Dr Shamrahayu A Aziz. (2017). Memahami Falsafah Raja Berperlembagaan. 11 April.    BH Online

http://www.majlisraja-raja.gov.my/index.php/bm/

https://kadirjasin.blogspot.com/search?q=Sultan+pernah+dihadapkan+ke+Mahkamah+Khas

https://www.parlimen.gov.my/index.php

https://www.parlimen.gov.my/sejarah-institusi.html?uweb=web&

Mohd Nasif Badruddin, Mohd Anwar Patho Rohman, Suraya Roslan (2019). Kaedah Pilih Agong. 8 Januari. My Metro

Perlembagaan Persekutuan. (2011). Kuala Lumpur: International Law Book Services.

Sejarah Tahun 5 Sekolah Kebangsaan. (2018). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Syahredzan Johan. (2019). Demokrasi dan Raja Berperlembagaan. 15 April. Sinar Harian

#pjj : Majlis Raja-Raja (MRR)

MAJLIS RAJA-RAJA (MRR)

Penubuhan Majlis Raja-raja (MRR) pada tahun 1897 hanya melibatkan raja-raja bagi empat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sahaja. Pada tahun 1948, MRR telah ditubuhkan secara rasminya mengikut Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan MRR berdasarkan Perkara 38 (1) Jadual Kelima, Perlembagaan Persekutuan. Ahli-ahli MRR pula terdiri daripada semua Raja dan Sultan bagi sembilan buah negeri dan juga Yang di Pertuan Negeri yang mewakili negeri-negeri yang tidak beraja. MRR merupakan satu komponen penting dalam pelaksanaan kuasa yang berasaskan kepada prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Hal ini kerana, MRR mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan tertinggi di peringkat negeri. Majlis Raja-raja juga unggul dari beberapa segi, kerana sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda oleh Parlimen sahaja, kerana persetujuan haruslah diperoleh daripada Majlis Raja-raja terlebih dahulu. Peruntukan tersebut ialah pindaan terhadap Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan juga hak kaum yang lain-lain, pindaaan Perkara 152 mengenai kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan pindaan bagi peruntukan yang lain-lain.

Di bawah peruntukan Perkara 38 (2) MRR diberi kuasa penting iaitu MRR berhak untuk memecat YDPA atas sebab-sebab yang dibenarkan dan juga berhak melantik YDPA. Selain itu, MRR boleh mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan. MRR juga boleh mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang menurut perlembagaan, memerlukan persetujuan MRR atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan MRR. Anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182 juga dilantik oleh MRR. Selain itu, MRR bolehm emberi ampun reprief dan respit atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42 dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (contohnya perubahan mengenai dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara yang difikirkan patut. Perkara 38 (6) pula menyatakan Perkara-perkara Perkara 38 (2) perlu dilaksanakan berdasarkan prinsip budi bicara. Perkara 182 (1) dan Perkara 42 (12) juga merupakan sebahagian bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepada MRR. Antara lain, persetujuan harus diperolehi bagi suatu undang-undang yang hendak mengubah sempadan sesebuah negeri, Perlembagaan Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Serawak. MRR juga harus dirundingi bagi perkara-perkara berkaitan dengan perlantikan hakim-hakim, Ketua Audit Negara, Ahli-Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pekhidmatan Pendidikan dan lain-lain.

Lazimnya, Majlis Raja-raja akan bersidang tiga atau empat kali setahun yang akan berlangsung selama 3 hari. Pengerusi MRR adalah raja yang terkanan mengikut senioriti. Mesyuarat MRR diiringi oleh YDPA dan Perdana Menteri, Sultan dan Menteri Besar, Yang Dipertuan Negeri dan Ketua Menteri kecuali untuk pemilihan YDPA dan Timbalan YDPA. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (PMBRR) adalah setiausaha kepada MRR. Persidangan khas iaitu melibatkan hal berkaitan kepentingan dan kedudukan raja-raja boleh diadakan bila keadaan memerlukan dan biasanya dipengerusikan oleh YDPA. Pertemuan di antara wakil rakyat dan raja-raja untuk berbincang mengenai negara dan kepentingan masing-masing secara terbuka tetapi tertutup daripada awam.

 


KEDAULATAN DAN IMUNITI RAJA-RAJA

Perkara 181 (2) menyatakan tidak ada apa-apa pembicaraan yang boleh dibawa ke mana-mana mahkamah terhadap kesalahan raja-raja bagi suatu negeri atas sifat peribadinya kecuali dalam mahkamah khas yang ditubuhkan di bahagian 15 Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perkara 181 (1) Perlembagaan memperuntukan dengan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan yang lain, kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa raja-raja di dalam negeri masing-masing adalah tidak boleh disentuh.

 Walau bagaimanapun, pada Januari 1993 berlaku pindaan Perlembagaan yang menyentuh tentang kekebalan Raja-Raja Melayu daripada sebarang tindakan Mahkamah. Pindaan dilakukan bertujuan memelihara kedudukan institusi raja supaya tidak disalahgunakan, menjamin kedaulatan institusi beraja dan mengukuhkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen agar rakyat terus menghormati keluhuran institusi raja. Selepas pindaan ini, sebuah Mahkamah Khas telah ditubuhkan untuk membicarakan Raja-Raja termasuk Yang Dipertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Sultan-Sultan, Permaisuri-Permaisuri Agong jika mereka ada melakukan sesuatu kesalahan jenayah atau wujud tuntutan sivil. Pindaan Perlembagaan tersebut menyatakan “Apa-apa prosiding oleh atau terhadap Yang Dipertuan Agong atau Raja sesuatu negeri atas sifat peribadinya hendaklah dibawa dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Fasal (1). Dalam Fasal (1) Perkara 182 juga turut menyatakan bahawa

 Mahkamah Khas ini ditubuh dengan dipengerusikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakimnya terdiri daripada, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah,Sarawak dan dua orang yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi (dilantik oleh MRR)”. Mahkamah Khas tidak ada di negara-negara Beraja lain yang mengamalkan konsep 'The King is above the law'.

 Dalam Fasal (3), Perlembagaan telah menggariskan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa yang eksklusif untuk membicarakan segala kesalahan yang dilakukan dalam Persekutuan oleh Yang Dipertuan Agong atau Raja sesuatu negeri dan segala kesalahan sivil oleh YDPA atau Raja sesuatu negeri walau di manapun kuasa tindakan berbangkit.

Perkara 183 telah dinyatakan bahawa “Tiada tindakan sivil atau jenayah boleh dimulakan terhadap Yang Dipertuan Agong atau Raja sesuatu negeri berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada yang dilakukan oleh baginda atas sifat peribadi baginda dengan izin Peguam Negara sendiri”. Pindaan ini merupakan satu perubahan besar yang berlaku ke atas Perlembagaan Malaysia dan juga ke atas insititusi Raja-Raja Melayu. Selepas pindaan itu dibuat, YPDA dan raja-raja boleh didakwa di Mahkamah Khas tersebut walaupun hanya melibatkan kesalahan-kesalahan yang bersifat peribadi. Walhal, sebelum pindaan itu, YPDA dan raja-raja adalah kebal dan bebasa daripada sebarang tindakan undang-undang.

#pjj : Sultan dan Raja Melayu

SULTAN DAN RAJA MELAYU



Jika di peringkat Persekutuan, Yang Dipertuan Agong adalah ketua negara, di peringkat negeri pula, Sultan atau Raja merupakan ketua negeri. Bagi negeri yang tidak beraja, ketua negeri ialah Yang Dipertua Negeri yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong. Dalam Perlembagaan Negeri-negeri Melayu, Sultan merupakan Ketua Negerinya kecuali Perlembagaan Negeri Sembilan. Walaupun Sultan atau Raja mempunyai kuasa eksekutif negeri namun, kuasa tersebut perlu dilaksanakan mengikut nasihat Majlis Mesyuarat atau Ketua Menteri atau Menteri Besar. Kuasa-kuasa lain yang dipunyai Sultan atau Raja juga adalah kuasa pengampunan. Sultan mempunyai kuasa mengampun dan menangguhkan hukuman kepada mereka yang telah disabitkan dengan kesalahan yang dilakukan di dalam negerinya. Selain itu, Sultan juga mempunyai kuasa untuk membuat perlantikan di bawah Perlembagaan Negeri dan Undang-undang Negeri. Oleh kerana Sultan dikenali sebagai tonggak kehormata dan keadilan, baginda mempunyai hak kedaulatan untuk menganugerahi pingat dan bintang kehormatan kepada sesiapa yang baginda sukai apabila keadaan memerlukan.

 

Jadual 8 Perlembagaan Persekutuan ada menterjemahkan perkara-perkara yang berkaitan dengan Raja-raja bagi setiap negeri. Menurut Perkara 71, Bahagian 1, Peruntukan Tetap: Raja bertindak berdasarkan nasihat. Apabila menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan Negeri ini atau mana-mana undang-undang atau sebagai anggota Majlis Raja-raja, raja dikehendaki bertindak mengikut nasihat atau atas nasihat maka Raja hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

 

Raja boleh bertindak menurut budi bicaranya pada menjalankan tugas-tugas yang berikut (selain daripada tugas-tugas tersebut, bagina juga boleh bertindak menurut budi bicaranya di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu melantik seorang Menteri Besar, tidak mempersetujui pembubaran Dewan Undangan Negeri,  meminta supaya dijalankan suatu Mesyuarat Majlis Raja-raja yang semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja atau perbuatan, amalan atau upacara keagamaan, apa-apa tugas sebagai Ketua Agama Islam aatau mengenai Adat istiadat Melayu, melantik waris atau waris-waris, Permaisuri, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja, melantik orang memegang pangkat, gelaran kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu dan menetapkan tugas-tugas berkenaan dengannya dan juga membuat peraturan-peraturan mengenai balai-balai diraja dan istana-istana.

#pjj : Tugas-tugas YDPA

TUGAS-TUGAS YANG DIPERTUAN AGONG


Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua negara Malaysia yang menjadi punca kepada segala kuasa. Selain berperanan selaku ketua negara, YDPA juga adalah ketua bagi raja-raja dan Majlis Raja-raja. Segala kuasa pemerintahan YDPA adalah berpandukan Perlembagaan yang menjadi lambang kedaulatan undang-undang yang merupakan tunggak perpaduan. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, YDPA merupakan ketua kepada tiga fungsi pemerintahan iaitu (i) fungsi perundangan, (ii) fungsi eksekutif dan juga (iii) fungsi kehakiman yang dibatasi oleh Perlembagaan. Oleh kerana kuasa YDPA termaktub dalam Perlrembagaan, YDPA dineknali sebagai Raja Berperlembagaan dan menjalankan kuasanya menurut Perlembagaan dan undang-undang Persekutuan. Selain itu, dalam Perkara 40 (2) secara khusus dinyatakan YDPA mempunyai kuasa budi bicara terhadap perlantikan Perdana Menteri, pembubaran Parlimen dan meminta untuk diadakan Mesyuarat Majlis Raja-raja.

 

(i)  Fungsi Perundangan

Perkara 40 (2b) menyatakan, YDPA berkuasa memanggil Parlimen bersidang, menangguh dan juga membubarkan Parlimen.  Termaktub dalam Perkara 60, YDPA boleh bertitah dalam Majlis Parlimen untuk merasmi/ membuka sidang atau kedua-dua dewan secara bersama mahupun berasingan. Perkara 66 (4), (4a), (5) dan (6) serta Perkara 68, YDPA adalah diperlukan untuk meluluskan undang-undang di Parlimen, sebelum satu Rang Undang-Undang (RUU) hendak diwartakan dan menjadi undang-undang yang sah.

 

(ii) Fungsi Eksekutif

Selain berfungsi kepada Parlimen dari segi perundangan, YDPA juga turut bertanggungjawab kepada cabang paksi pemerintahan yang dinamakan badan Eksekutif seperti diperuntukkan dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Malaysia, 2011: 47). Lazimnya, badan eksekutif ini merujuk kepada Kabinet ataupun Jemaah Menteri. Oleh itu, berpaksikan Perkara 39 dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, YDPA berkuasa melantik Perdana Menteri, Menteri-menteri, duta dan lain-lain jawatan pentadbiran untuk menjalankan pemerintahan negara bagi pihaknya. Namun bidang kuasa YDPA hanya layak melucutkan jawatan Menteri-menteri tetapi tidak jawatan Perdana Menteri - Perkara 43 (5). Perkara 40 (1) pula menyatakan YDPA adalah berhak, atas permintaannya mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri. Namun, segala tindakan YDPA yang dibatasi Perlembagaan Persekutuan ini dilaksana dengan nasihat Perdan Menteri.

 

(iii) Fungsi Kehakiman

Merujuk Perkara 122, YDPA adalah berkuasa untuk melantik Ketua Hakim Negara, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim-hakim Besar dan Hakim Mahkamah Tinggi. Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), YDPA juga berkuasa bagi mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman mengenai kesalahan yang telah dibicarakan di Mahkamah Tentera, kesalahan sivil di Wilayah Persekutuan dan hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Syariah di negeri-negeri YDPA bertindak sebagai Ketua Agama Islam, Perkara 42 (1).

 

Selain bertanggungjawab kepada Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman, YDPA juga merupakan ketua agama bagi empat negeri yang tidak beraja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta tiga wilayah persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan. Perkara 153 (1) pula menyatakan YDPA juga adalah bertanggungjawab memelihara, melindungi dan menjaga hak-hak kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perlembagaan. YDPA juga adalah berkuasa mengisytiharkan darurat dan memperkenalkan undang-undang darurat.


Bersambung ke tajuk Sultan & Raja Melayu

#pjj : Yang DiPertuan Agong & Sultan dan Raja Melayu

Assalamualaikum wbt.

Menjadi seorang pelajar disamping tugasan hakiki selaku ibu, pekerja

bukanlah sesuatu yang mudah sebab bonda tahu, bonda bukan sejenis manusia multitasking.

Maka, penulisan kali ini adalah perkongsian tugasan yang telah bonda lakukan.

Sekiranya ada sesiapa yang berkehendak, silakan ambil sebagai rujukan.

Doakan bonda cemerlang gemilang duniakhirat.


Penulisan ini adalah tentang tugasan subjek GLUL3113 Undang-undang Pentadbiran.

Tajuk tugasan sama seperti tajuk entry bonda ni.


sebab bonda yakin semua rakyat sayang sangat-sangat dengan YDPA dan Permaisuri kita ni kan?


PENGENALAN

Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.  Perlembagaan Persekutuan telah digubal pada Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan dengan mengadakan syarat-syarat serta diberi kuasa tertentu untuk membolehkan pelaksanaan sistem Raja Berperlembagaan sebagai sebahagian sistem pentadbiran serta mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi Raja dalam Perlembagaan. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (Pentadbiran). Perlembagaan Persekutuan menjadikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen berjalan serentak, menjadi semak dan imbang antara satu sama lain.

 Sama seperti negara United Kingdom dan Belanda yang mengamalkan Raja Berperlembagaan, raja adalah Ketua Negara namun kuasa terletak pada badan-badan negara seperti kerajaan, perundangan dan mahkamah. Kuasa eksekutif dalam sistem raja berperlembagaan termaktub dalam kerajaan manakala kuasa perundangan pada Parlimen (atau Dewan Undangan Negeri) dan kuasa kehakiman pada mahkamah. Jika Brunei dan Arab Saudi mengamalkan system monarki mutlak (absolute monarchy) berbeda dengan sistem raja berperlembagaan di Malaysia. Negara raja berperlembagaan menghadkan kuasa dan peranan raja pada apa yang termaktub dalam perlembagaan.

 Menurut Dr Shamrahayu A Aziz (11 April 2017), menerusi Majlis Raja-Raja, Raja di Malaysia mempunyai peranan besar bagi pelantikan jawatan penting Badan Kehakiman, terutama pelantikan dan pemecatan hakim di Mahkamah Persekutuan. Walaupun Raja miliki peranan melantik atau memecat ahli badan kehakiman dan juga badan pelaksana, mereka hendaklah menjalankan tugas secara bebas daripada pengaruh. Begitu juga peranan Raja berkaitan badan pelaksana. Raja Berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peranan dalam pindaan Perlembagaan. Perkara 159 (5) adalah contoh terbaik, yang mana beberapa perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilakukan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Dalam soal demokrasi pula, demokrasi sebenarnya berubah wajah mengikut tempat dan kesesuaian, walaupun ciri-ciri asas seperti pilihan raya bebas dan adil serta wujudnya institusi Parlimen adalah ciri wajib dalam semua demokrasi yang diamalkan. Demokrasi mungkin ada amalan dan kesan berbeza dalam sistem yang mempunyai Perlembagaan bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan tidak bertulis meletakkan Akta Parlimen sebagai undang-undang tertinggi menzahirkan sistem 'Democratic Parliamentary Monarchy'.

 Dalam sistem Raja dalam Demokrasi Berparlimen, Raja memerintah tetapi tidak mentadbir; Raja cuma mendengar dan 'mentaati' keputusan demokrasi. Semua tugasan diangkat dan dilaksanakan kerajaan yang dipilih menerusi Parlimen dan proses demokrasi atau pilihan raya. Raja juga mempunyai beberapa peranan di luar demokrasi dalam tugasannya melaksanakan peruntukan Perlembagaan. Seperti disebut dalam sumpah jawatan, Raja hendaklah memerintah negara menurut peruntukan Perlembagaan, berpaksikan kedaulatan undang-undang, menegakkan keadilan serta menjaga agama Islam. Oleh itu, dalam menjaga keluhuran Perlembagaan, disebut dalam Perkara 130, Yang di-Pertuan Agong boleh rujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapat apa-apa soal kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit dan Mahkamah Persekutuan hendaklah umum pendapatnya mengenai apa-apa soal yang dirujuk di mahkamah terbuka. Ini menjadikan pandangan mahkamah telus dan bebas, sekali gus membantu Raja mendapatkan pandangan, seterusnya menjadi Raja Berperlembagaan berwibawa (Berita Harian, 11 April 2017)

 

YANG DIPERTUAN AGONG (YDPA)

‘Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang Dipertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15’. Ini adalah kenyataan dan keterangan perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menerangkan mengenai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan dan Permaisurinya.

Jawatan Yang Dipertuan Agong (YDPA) adalah satu jawatan baharu dan penting yang menyerupai jawatan ‘Ratu’ di England namun kuasa Ratu itu tidak berpunca daripada undang-undang tertinggi tetapi disokong amalan Perlembagaan sahaja. England juga tidak mempunyai undang-undang bertulis sebaliknya hanya Akta Parlimen sebagai undang-undang tertinggi. Jawatan Yang Dipertuan Agong tidak boleh diwarisi secara turun temurun kerana Malaysia bukanlah kerajaan beraja yang mutlak sebaliknya jawatan ini telah diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Manakala, pemilihan siapakah yang bakal bersemayam selama lima tahun menjadi YDPA pula adalah kuasa di kalangan “Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja” mengikut peraturan dalam Jadual 3 Perlembagaan Persekutuan. Manakala perlantikan seorang YDPA yang akan dibantu oleh seorang Timbalan YDPA pula, adalah pilihan dan persetujuan Majlis Raja-Raja (MRR). Isteri YDPA digelar Raja Permaisuri Agong dan mempunyai keutamaan selepas Yang di Pertuan Agong [Perkara 32(2)]. Yang Dipertuan Agong boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa dengan mengutus surat yang ditandatanganinya kepada Majlis Raja-raja. Baginda juga boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-raja. Dalam pada itu, jawatan Yang Dipertuan Agong yang dipegang itu akan terhenti jika baginda terhenti daripada menjadi seorang Raja.

Seperti yang telah diterangkan pada perenggan kedua, pemilihan YDPA dibuat oleh Majlis Raja-raja. Jadual Ketiga Perelmbagaan Persekututan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja telah menetapkan kaedah dan cara pemilihan YDPA. Antara ciri-ciri kelayakan yang termaktub dalam Jadual Ketiga pemilihan Yang Dipertuan Agong ialah (i) hanya Raja-raja sahaja yang boleh dipilih, (ii) hanya Raja-raja sahaja yang boleh mengundi dan (iii) Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan hendaklah dipilih. Setiap Raja Melayu berkelayakan untuk dipilih menjadi YDPA melainkan atas tiga perkara, (i) baginda tidak cukup umur, (ii) memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (PMBRR) bahawa baginda tidak berhasrat untuk dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong atau (iii) Majlis Raja-raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa raja itu adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang DiPertuan Agong asbab kegeringan, kelemahan akal atau sebab-sebab lain yang munasabah [Perkara 32(3)]. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima ahli Majlis.

Pemilihan YDPA oleh MRR adalah melalui proses pengundian. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan memberikan kertas undi kepada setiap raja. Sembilan undi rahsia dalam kalangan sembilan sultan dan raja-raja Melayu akan menandakan pendapatnya sama ada raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang Dipertuan Agong. Menurut Pakar Perlembagaan Dr Muhammad Fathi Yusof, pada pusingan pertama dulu, sistem penggiliran dibuat berdasarkan kekananan (senioriti), umur dan tempoh sultan memegang jawatan di negeri asal sebelum dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pada pusingan kedua pula, enam Sultan yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong mengikut urutan pusingan pertama seperti dipersetujui MRR setakat ini. Begitupun dari segi Perlembagaan, ia tidak mengikat MRR untuk mengikut urutan seperti pusingan pertama, sebab itu adanya undi rahsia dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong (My Metro, 8 Januari 2019). Calon itu mesti mendapat sekurang-kurangnya lima undi menyokong untuk melayakkan baginda terpilih menjadi Yang Dipertuan Agong. Setelah mendapat undi majoriti, maka raja yang menjadi pengerusi Mesyuarat Pemilihan akan menawarkan jawatan Yang Dipertuan Agong kepada baginda. Namun, sekiranya raja yang berjaya itu menolak tawaran sebagai Yang Dipertuan Agong atau pun jika gagal memperolehi undi majoriti, proses pengundian semula perlu dijalankan dengan mencalonkan nama raja yang kedua dari segi kekananan untuk diundi. Proses pemilihan itu hanya akan selesai setelah calon yang mendapat undi majoriti bagi jawatan Yang Dipertuan Agong menerima tawaran itu. Selepas itu baharulah Majlis Raja-raja akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong bagi tempoh lima tahun.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan di Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi menjelaskan, Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya boleh dilantik terus sebagai Yang diPertuan Agong walaupun pernah memangku tugas itu sebelum itu. MRR akan bersidang dan menentukan Sultan dari negeri mana yang akan dipilih serta dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong. Manakala, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz yang merupakan pakar Perlembagaan turut berpendapat, hanya MRR dan persetujuan sultan yang dipilih untuk menentukan siapa Yang di-Pertuan Agong baharu. Proses pelantikan Yang di-Pertuan Agong bergantung kepada budi bicara MRR mengikut Peraturan 32 dibaca Peraturan 38 dan ini adalah satu perkara yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya lagi, Timbalan Yang di-Pertua Agong tidak semestinya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, ia hendaklah melalui proses ditetapkan perlembagaan dan undang-undang serta memerlukan pemilihan (My Metro, 8 Januari 2019). 

Menurut Perkara 34 Perlembagaan Malaysia, ketika seseorang Sultan/ Raja menaiki takhta YDPA, baginda tidak boleh menjalankan tugas-tugas di negerinya kecuali tugas-tugas selaku ketua agam Islam dalam negerinya, tugas dan kuasa yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan negerinya serta tugas dan kuasa melantik seorang pemangku raja dan anggota-angota Majlis Pangkuan Raja. Perkara 34 juga turut menyatakan beberapa perkara lain yang tidak boleh dilakukan oleh seorang YDPA iaitu tidak boleh secara aktif terlibat dalam perniagaan, tidak boleh menerima emolumen daripada negeri Baginda, tidak boleh meninggalkan negara lebih daripada 15 hari tanpa persetujuan MRR kecuali atas lawatan rasmi dan juga tidak boleh memegang sebarang jawatan kerajaan.

Sejak merdeka sehingga ke hari ini, Malaysia telah melantik seramai 15 orang Sultan dan Raja secara bergilir-gilir untuk ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong walaupun telah terdapat 16 YDPA di Malaysia. Hal ini kerana, pertabalan Al-Marhum Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah sebagai YDPA ke-14 pada tahun 2012, telah melakar sejarah baharu kerana baginda menjadi sultan pertama yang memegang jawatan sebagai YDPA sebanyak dua kali. Al-Marhum Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih menjadi YDPA kali pertama pada 21 September 1970 sebagai YDPA kelima. Manakala YDPA kali kedua disandang pada 13 Disember 2011 selaku YDPA ke-14. Satu-satunya YDPA yang menaiki takhta tanpa Raja Permaisuri Agong ialah Tengku Muhammad Faris Petra ataupun Sultan Muhamad V yang merupakan YDPA ke-15. YDPA pertama Malaysia ialah Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad yang telah berkhidmat bermula 3 Ogos 1957 sehinga 1 April 1960. Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pula adalah YDPA ke-16 sejak 31 Januari 2019 yang lalu sehingga ke hari ini. 

Sebelum bersemayam sebagai Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah terlebih dahulu dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019 hasil keputusan sebulat suara mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang. Baginda dimasyurkan bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah yang dilaporkan dalam keadaan gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah. Al-Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan adalah cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah bersama Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad. Baginda pernah memangku jawatan Pemangku Raja Pahang ketika berusia 20 tahun pada 28 April 1979 semasa ayahanda baginda ditabal Yang di-Pertuan Agong pada 1979-1984. Pada 28 Disember 2016, baginda sekali lagi dipertanggungjawabkan menjadi Pemangku Raja Pahang sehingga 11 Januari 2019 setelah Sultan Ahmad Shah gering.

Sultan Abdullah yang dimasyhurkan Sultan Pahang keenam telah memakai gelaran rasmi sebagai Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Menurut Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, penggunaan perkataan 'Al' di hadapan nama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah adalah mengikut nahu Arab yang tepat. Tambahnya lagi, Al-Sultan Abdullah telah mempersetujui penggunaan nama itu kerana mengambil kira ketepatan nahu Arab, berbeza daripada kebiasaan orang Melayu yang terus menyebut 'Sultan'. Nama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bermaksud ‘Sultan Abdullah Pembela Agama Yang Terpilih Oleh Allah’ adalah pemilihan baginda sendiri (BH Online, 17 Januari 2019).


Ini baharu bahagian pertama, bonda akan sambung dalam bahagian kedua di bawah tajuk:

Tugas-tugas YDPA

Di bahagian akhir penulisan ini,

bonda akan titipkan rujukan yang bonda buat dalam penulisan tugasan  ni.

Designed by UMIESUEstudio 2014 FOR INSYIMANHAFIZ