Followers

Saturday, November 28, 2020

#pjj : Majlis Raja-Raja (MRR)

MAJLIS RAJA-RAJA (MRR)

Penubuhan Majlis Raja-raja (MRR) pada tahun 1897 hanya melibatkan raja-raja bagi empat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sahaja. Pada tahun 1948, MRR telah ditubuhkan secara rasminya mengikut Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Penubuhan MRR berdasarkan Perkara 38 (1) Jadual Kelima, Perlembagaan Persekutuan. Ahli-ahli MRR pula terdiri daripada semua Raja dan Sultan bagi sembilan buah negeri dan juga Yang di Pertuan Negeri yang mewakili negeri-negeri yang tidak beraja. MRR merupakan satu komponen penting dalam pelaksanaan kuasa yang berasaskan kepada prinsip demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Hal ini kerana, MRR mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan tertinggi di peringkat negeri. Majlis Raja-raja juga unggul dari beberapa segi, kerana sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda oleh Parlimen sahaja, kerana persetujuan haruslah diperoleh daripada Majlis Raja-raja terlebih dahulu. Peruntukan tersebut ialah pindaan terhadap Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan juga hak kaum yang lain-lain, pindaaan Perkara 152 mengenai kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan pindaan bagi peruntukan yang lain-lain.

Di bawah peruntukan Perkara 38 (2) MRR diberi kuasa penting iaitu MRR berhak untuk memecat YDPA atas sebab-sebab yang dibenarkan dan juga berhak melantik YDPA. Selain itu, MRR boleh mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama meliputi seluruh Persekutuan. MRR juga boleh mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang menurut perlembagaan, memerlukan persetujuan MRR atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan MRR. Anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182 juga dilantik oleh MRR. Selain itu, MRR bolehm emberi ampun reprief dan respit atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42 dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (contohnya perubahan mengenai dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara yang difikirkan patut. Perkara 38 (6) pula menyatakan Perkara-perkara Perkara 38 (2) perlu dilaksanakan berdasarkan prinsip budi bicara. Perkara 182 (1) dan Perkara 42 (12) juga merupakan sebahagian bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepada MRR. Antara lain, persetujuan harus diperolehi bagi suatu undang-undang yang hendak mengubah sempadan sesebuah negeri, Perlembagaan Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Serawak. MRR juga harus dirundingi bagi perkara-perkara berkaitan dengan perlantikan hakim-hakim, Ketua Audit Negara, Ahli-Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pekhidmatan Pendidikan dan lain-lain.

Lazimnya, Majlis Raja-raja akan bersidang tiga atau empat kali setahun yang akan berlangsung selama 3 hari. Pengerusi MRR adalah raja yang terkanan mengikut senioriti. Mesyuarat MRR diiringi oleh YDPA dan Perdana Menteri, Sultan dan Menteri Besar, Yang Dipertuan Negeri dan Ketua Menteri kecuali untuk pemilihan YDPA dan Timbalan YDPA. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (PMBRR) adalah setiausaha kepada MRR. Persidangan khas iaitu melibatkan hal berkaitan kepentingan dan kedudukan raja-raja boleh diadakan bila keadaan memerlukan dan biasanya dipengerusikan oleh YDPA. Pertemuan di antara wakil rakyat dan raja-raja untuk berbincang mengenai negara dan kepentingan masing-masing secara terbuka tetapi tertutup daripada awam.

 


KEDAULATAN DAN IMUNITI RAJA-RAJA

Perkara 181 (2) menyatakan tidak ada apa-apa pembicaraan yang boleh dibawa ke mana-mana mahkamah terhadap kesalahan raja-raja bagi suatu negeri atas sifat peribadinya kecuali dalam mahkamah khas yang ditubuhkan di bahagian 15 Perlembagaan Persekutuan. Dalam Perkara 181 (1) Perlembagaan memperuntukan dengan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan yang lain, kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa raja-raja di dalam negeri masing-masing adalah tidak boleh disentuh.

 Walau bagaimanapun, pada Januari 1993 berlaku pindaan Perlembagaan yang menyentuh tentang kekebalan Raja-Raja Melayu daripada sebarang tindakan Mahkamah. Pindaan dilakukan bertujuan memelihara kedudukan institusi raja supaya tidak disalahgunakan, menjamin kedaulatan institusi beraja dan mengukuhkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen agar rakyat terus menghormati keluhuran institusi raja. Selepas pindaan ini, sebuah Mahkamah Khas telah ditubuhkan untuk membicarakan Raja-Raja termasuk Yang Dipertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Sultan-Sultan, Permaisuri-Permaisuri Agong jika mereka ada melakukan sesuatu kesalahan jenayah atau wujud tuntutan sivil. Pindaan Perlembagaan tersebut menyatakan “Apa-apa prosiding oleh atau terhadap Yang Dipertuan Agong atau Raja sesuatu negeri atas sifat peribadinya hendaklah dibawa dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Fasal (1). Dalam Fasal (1) Perkara 182 juga turut menyatakan bahawa

 Mahkamah Khas ini ditubuh dengan dipengerusikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakimnya terdiri daripada, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah,Sarawak dan dua orang yang memegang atau pernah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi (dilantik oleh MRR)”. Mahkamah Khas tidak ada di negara-negara Beraja lain yang mengamalkan konsep 'The King is above the law'.

 Dalam Fasal (3), Perlembagaan telah menggariskan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa yang eksklusif untuk membicarakan segala kesalahan yang dilakukan dalam Persekutuan oleh Yang Dipertuan Agong atau Raja sesuatu negeri dan segala kesalahan sivil oleh YDPA atau Raja sesuatu negeri walau di manapun kuasa tindakan berbangkit.

Perkara 183 telah dinyatakan bahawa “Tiada tindakan sivil atau jenayah boleh dimulakan terhadap Yang Dipertuan Agong atau Raja sesuatu negeri berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada yang dilakukan oleh baginda atas sifat peribadi baginda dengan izin Peguam Negara sendiri”. Pindaan ini merupakan satu perubahan besar yang berlaku ke atas Perlembagaan Malaysia dan juga ke atas insititusi Raja-Raja Melayu. Selepas pindaan itu dibuat, YPDA dan raja-raja boleh didakwa di Mahkamah Khas tersebut walaupun hanya melibatkan kesalahan-kesalahan yang bersifat peribadi. Walhal, sebelum pindaan itu, YPDA dan raja-raja adalah kebal dan bebasa daripada sebarang tindakan undang-undang.

No comments:

Designed by UMIESUEstudio 2014 FOR INSYIMANHAFIZ