Followers

Saturday, October 28, 2017

MentolJemariBerdansa : Isu-isu Perkhidmatan Awam (Rasuah)


Image result for rasuah


Akhir-akhir ini, bidang perkhidmatan awam sering disajikan dengan pelbagai berita mengenai keruntuhan integriti penjawat awam terutamanya yang melibatkan gejala rasuah. Dari hari ke sehari ada sahaja tangkapan berhubung gejala rasuah dilaporkan oleh media massa yang melibatkan penjawat awam termasuklah pegawai-pegawai kanan kerajaan. Fenomena ini sangatlah membimbangkan kerana berita-berita tangkapan berhubung gejala rasuah ini sedikit sebanyak telah mencalarkan imej perkhidmatan awam secara umumnya dan penjawat awam secara khasnya. Antara isu yang turut diutarakan termasuklah  permainan golf di kalangan pegawai-pegawai kanan dalam perkhidmatan awam. Perbelanjaan yang tinggi untuk bermain golf turut disabitkan menjadi titik tolak bermulanya rasuah.

Apakah yang dimaksudkan dengan rasuah? Perkataan rasuah berasal daripada perkataan arab yang berbunyi al-risywah.  Dalam Al-Quran rasuah digolongkan dalam kata umum batil iaitu meliputi perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu. Rasuah ataupun corruption (Bahasa Inggeris), tidak diberi definisi di dalam undang-undang Malaysia. Manakala dari portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, rasuah diistilahkan sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

Terdapat beberapa faktor yang mencetus kepada berlakunya gejala rasuah / suapan ini seperti wang, bonus, jawatan, diskaun, undi, upah mahupun hadiah. Walaubagaimanapun secara ringkasnya, berdasarkan pengalaman SPRM, perbuatan jenayah rasuah yang berlaku antaranya disebabkan oleh sikap materialstik penjawat awam itu sendiri yang kepingin kehidupan mewah sehingga melampaui kemampuan diri  tanpa mengira halal dan haram. Apa yang diutamakan hanyalah nilai-nilai material lalu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang penjawat awam yang telah diamanahkan dengan kuasa dan pertanggungjawaban. Individu seperti ini langsung tidak mengambil kira bahawa dengan melakukan perbuatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, sebenarnya dia telah melakukan kezaliman, penganiayaan dan menafikan hak-hak orang lain atau memberikan hak sesuatu itu bukan kepada orang yang selayaknya.

Karenah birokrasi juga merupakan antara faktor berlakunya jenayah rasuah itu sendiri. Contohnya seperti urusan permohonan permit, tanah, dan lain-lain proses merumitkan menjadi punca mereka yang berurusan sanggup memberi rasuah kepada pegawai yang menguruskannya agar permohonan mereka dapat diproses dengan kadar segera. Rentetan dari contoh yang diketengahkan ini, kurangnya komitmen kepimpinan untuk mengenalpasti ruang-ruang yang boleh menyebabkan berlakunya perbuatan rasuah, ditambah pula wujudnya pemimpin yang takut untuk menjadi tidak popular, menyebabkan keadaan akan lebih tidak terkawal. Terlalu banyak penurunan kuasa tanpa pengawasan yang bijak oleh pegawai atasan boleh membuka banyak ruang kepada berlakunya gejala tidak sihat di kalangan penjawat awam. Apabila kurangnya penyeliaan pegawai atasan terhadap kerja-kerja yang dijalankan oleh penjawat awam itu menyebabkan ada penjawat awam yang didorong oleh unsur-unsur tidak sihat, akan mengambil kesempatan dari kerumitan proses berkenaan untuk melakukan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan juga rasuah.

Sudahlah karenah birokrasi merumitkan orang awam, peraturan dan sistem pelaksanaan kerja pula semakin dipandang enteng oleh penjawat awam itu sendiri. Longgarnya tatacara dan peraturan kerja menjadi kelemahan dalam sistem pelaksanaan sesuatu tugas menyebabkan sesebuah jabatan / agensi itu sentiasa terdedah dengan perlakuan – perlakuan jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai dan kakitangannya. Sekali lagi, komitmen kepimpinan khususnya, integriti serta perasaan pertanggungjawaban semua kakitangan bagi memastikan ketelusan tatacara dan sistem pelaksanaan kerja adalah sangat penting.

Apapun punca atau faktor kecurangan dalam tugas ini, berbaliklah kepada agama. Hal yang demikian adalah kerana apa sahaja anutan setiap penjawat awam di negara ini, rasuah merupakan satu perbuatan yang ditegah dalam setiap agama. Selain dari itu, kedangkalan ilmu-ilmu keagamaan, kurangnya penghayatan nilai-nilai murni dan hilangnya nilai-nilai akhlak yang baik juga menjadi antara faktor yang menyebabkan seseorang itu bergelumang dalam jenayah rasuah. Menurut seorang penulis, ‘nilai’ ialah ‘beliefs about right and wrong’. Manakala ‘etika’ pula ditakrifkan sebagai ‘thinking systematically about morals and conduct and making judgments about right and wrong’ (Carol W. Lewis: The Ethics Challenge in Public Service). Kerendahan moral serta nafsu  tidak lagi dapat membezakan antara nilai-nilai yang baik dan buruk, hingga mengenepikan nilai-nilai suci dalam agama boleh mendorong seseorang penjawat awam itu melakukan pelbagai kemaksiatan dan jenayah dalam tugasan mereka. Justeru itu, individu seperti ini akan memperhambakan dirinya kepada nafsu yang mengongkong kehidupannya.

Jika ada penyakit, pasti ada penawarnya. Jika telah menjadi barah, berusahahlah kita dengan cara pembedahan. Sememangnya gejala rasuah ini telah menular sejak sekian lama tetapi harus senantiasa dirawat agar tidak kekal menjadi kudis dan nanah dalam sektor perkhidmatan awam walaupun hakikatnya rasuah ini telah menjadi barah yang kian parah umpama tumor yang tumbuh tanpa rawatan rapi. Mungkin konsep mencegah lebih baik daripada mengubati amat berkesan bagi memastikan rasuah terus dikuburkan dan ditalkinkan di tempat yang sepatutnya. Antara ‘ubat-ubatan’ yang mampu dijadikan penawar kepada barah rasuah ini sudah pasti tindakan awal dari kerajaan bagi membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum penjawat-penjawat awam yang disabit isu rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini. Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini.

Selain itu, siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi. Masyarakat  tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah sejajar dengan Seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 : Kewajipan Untuk Melaporkan Transaksi Penyogokan. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan pemberi maklumat adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan. Pemberi maklumat adalah orang yang membuat pendedahan tentang jenayah rasuah berdasarkan pengetahuannya dan mereka dilindungi di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009. Pemberi maklumat juga turut dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Manakala pemberi maklumat yang menjadi saksi bagi sesuatu kes rasuah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.

Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama di sektor pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk mengawalnya kerana dari kalangan pelajar sekolah dan universiti inilah terlahirnya penjawat awam. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Tambahan pula, kita sebagai seorang yang beragama Islam perlu memantapkan iman dan mengukuhkan jati diri kita untuk mengelakkan diri daripada gejala rasuah ini. Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling utuh untuk membanteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin, peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa yang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

 Konklusinya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlebih dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Selain mencalarkan imej perkhidmatan awam, kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara kita satu negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya. Sesungguhnya penjawat awam yang kehilangan nilai amanah akan ditimpa krisis kepercayaan. Oleh itu, semua pihak perlu menjauhi sifat tamak yang boleh menyebabkan perbuatan rasuah serta mengelakkan diri daripada berbelanja melebihi pendapatan. Bak kata pepatah ukur baju di badan sendiri. Berikutan semakin seriusnya usaha menangani gejala ini, diharapkan agar tiada sesiapa akan terkecuali daripada tindakan undang–undang. Kedudukan atau parti politik bukanlah payung yang melindungi sesiapa daripada penghakiman dan hukuman. Kita yakin bahawa hukuman yang setimpal boleh menerbitkan perilaku baik seseorang. Sehubungan itu, dalam memerangi gejala ini, semua pihak perlulah bertindak secara menyeluruh dan berterusan. Jika kita sepakat melakukannya, tiada sebab kita akan gagal.

No comments:

Designed by UMIESUEstudio 2014 FOR INSYIMANHAFIZ