Followers

Saturday, November 28, 2020

#pjj : Tugas-tugas YDPA

TUGAS-TUGAS YANG DIPERTUAN AGONG


Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua negara Malaysia yang menjadi punca kepada segala kuasa. Selain berperanan selaku ketua negara, YDPA juga adalah ketua bagi raja-raja dan Majlis Raja-raja. Segala kuasa pemerintahan YDPA adalah berpandukan Perlembagaan yang menjadi lambang kedaulatan undang-undang yang merupakan tunggak perpaduan. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, YDPA merupakan ketua kepada tiga fungsi pemerintahan iaitu (i) fungsi perundangan, (ii) fungsi eksekutif dan juga (iii) fungsi kehakiman yang dibatasi oleh Perlembagaan. Oleh kerana kuasa YDPA termaktub dalam Perlrembagaan, YDPA dineknali sebagai Raja Berperlembagaan dan menjalankan kuasanya menurut Perlembagaan dan undang-undang Persekutuan. Selain itu, dalam Perkara 40 (2) secara khusus dinyatakan YDPA mempunyai kuasa budi bicara terhadap perlantikan Perdana Menteri, pembubaran Parlimen dan meminta untuk diadakan Mesyuarat Majlis Raja-raja.

 

(i)  Fungsi Perundangan

Perkara 40 (2b) menyatakan, YDPA berkuasa memanggil Parlimen bersidang, menangguh dan juga membubarkan Parlimen.  Termaktub dalam Perkara 60, YDPA boleh bertitah dalam Majlis Parlimen untuk merasmi/ membuka sidang atau kedua-dua dewan secara bersama mahupun berasingan. Perkara 66 (4), (4a), (5) dan (6) serta Perkara 68, YDPA adalah diperlukan untuk meluluskan undang-undang di Parlimen, sebelum satu Rang Undang-Undang (RUU) hendak diwartakan dan menjadi undang-undang yang sah.

 

(ii) Fungsi Eksekutif

Selain berfungsi kepada Parlimen dari segi perundangan, YDPA juga turut bertanggungjawab kepada cabang paksi pemerintahan yang dinamakan badan Eksekutif seperti diperuntukkan dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Malaysia, 2011: 47). Lazimnya, badan eksekutif ini merujuk kepada Kabinet ataupun Jemaah Menteri. Oleh itu, berpaksikan Perkara 39 dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, YDPA berkuasa melantik Perdana Menteri, Menteri-menteri, duta dan lain-lain jawatan pentadbiran untuk menjalankan pemerintahan negara bagi pihaknya. Namun bidang kuasa YDPA hanya layak melucutkan jawatan Menteri-menteri tetapi tidak jawatan Perdana Menteri - Perkara 43 (5). Perkara 40 (1) pula menyatakan YDPA adalah berhak, atas permintaannya mendapat apa-apa maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri. Namun, segala tindakan YDPA yang dibatasi Perlembagaan Persekutuan ini dilaksana dengan nasihat Perdan Menteri.

 

(iii) Fungsi Kehakiman

Merujuk Perkara 122, YDPA adalah berkuasa untuk melantik Ketua Hakim Negara, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim-hakim Besar dan Hakim Mahkamah Tinggi. Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), YDPA juga berkuasa bagi mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman mengenai kesalahan yang telah dibicarakan di Mahkamah Tentera, kesalahan sivil di Wilayah Persekutuan dan hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Syariah di negeri-negeri YDPA bertindak sebagai Ketua Agama Islam, Perkara 42 (1).

 

Selain bertanggungjawab kepada Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman, YDPA juga merupakan ketua agama bagi empat negeri yang tidak beraja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta tiga wilayah persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan. Perkara 153 (1) pula menyatakan YDPA juga adalah bertanggungjawab memelihara, melindungi dan menjaga hak-hak kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perlembagaan. YDPA juga adalah berkuasa mengisytiharkan darurat dan memperkenalkan undang-undang darurat.


Bersambung ke tajuk Sultan & Raja Melayu

#pjj : Yang DiPertuan Agong & Sultan dan Raja Melayu

Assalamualaikum wbt.

Menjadi seorang pelajar disamping tugasan hakiki selaku ibu, pekerja

bukanlah sesuatu yang mudah sebab bonda tahu, bonda bukan sejenis manusia multitasking.

Maka, penulisan kali ini adalah perkongsian tugasan yang telah bonda lakukan.

Sekiranya ada sesiapa yang berkehendak, silakan ambil sebagai rujukan.

Doakan bonda cemerlang gemilang duniakhirat.


Penulisan ini adalah tentang tugasan subjek GLUL3113 Undang-undang Pentadbiran.

Tajuk tugasan sama seperti tajuk entry bonda ni.


sebab bonda yakin semua rakyat sayang sangat-sangat dengan YDPA dan Permaisuri kita ni kan?


PENGENALAN

Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.  Perlembagaan Persekutuan telah digubal pada Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan dengan mengadakan syarat-syarat serta diberi kuasa tertentu untuk membolehkan pelaksanaan sistem Raja Berperlembagaan sebagai sebahagian sistem pentadbiran serta mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi Raja dalam Perlembagaan. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (Pentadbiran). Perlembagaan Persekutuan menjadikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen berjalan serentak, menjadi semak dan imbang antara satu sama lain.

 Sama seperti negara United Kingdom dan Belanda yang mengamalkan Raja Berperlembagaan, raja adalah Ketua Negara namun kuasa terletak pada badan-badan negara seperti kerajaan, perundangan dan mahkamah. Kuasa eksekutif dalam sistem raja berperlembagaan termaktub dalam kerajaan manakala kuasa perundangan pada Parlimen (atau Dewan Undangan Negeri) dan kuasa kehakiman pada mahkamah. Jika Brunei dan Arab Saudi mengamalkan system monarki mutlak (absolute monarchy) berbeda dengan sistem raja berperlembagaan di Malaysia. Negara raja berperlembagaan menghadkan kuasa dan peranan raja pada apa yang termaktub dalam perlembagaan.

 Menurut Dr Shamrahayu A Aziz (11 April 2017), menerusi Majlis Raja-Raja, Raja di Malaysia mempunyai peranan besar bagi pelantikan jawatan penting Badan Kehakiman, terutama pelantikan dan pemecatan hakim di Mahkamah Persekutuan. Walaupun Raja miliki peranan melantik atau memecat ahli badan kehakiman dan juga badan pelaksana, mereka hendaklah menjalankan tugas secara bebas daripada pengaruh. Begitu juga peranan Raja berkaitan badan pelaksana. Raja Berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan juga mempunyai peranan dalam pindaan Perlembagaan. Perkara 159 (5) adalah contoh terbaik, yang mana beberapa perkara penting dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilakukan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Dalam soal demokrasi pula, demokrasi sebenarnya berubah wajah mengikut tempat dan kesesuaian, walaupun ciri-ciri asas seperti pilihan raya bebas dan adil serta wujudnya institusi Parlimen adalah ciri wajib dalam semua demokrasi yang diamalkan. Demokrasi mungkin ada amalan dan kesan berbeza dalam sistem yang mempunyai Perlembagaan bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan tidak bertulis meletakkan Akta Parlimen sebagai undang-undang tertinggi menzahirkan sistem 'Democratic Parliamentary Monarchy'.

 Dalam sistem Raja dalam Demokrasi Berparlimen, Raja memerintah tetapi tidak mentadbir; Raja cuma mendengar dan 'mentaati' keputusan demokrasi. Semua tugasan diangkat dan dilaksanakan kerajaan yang dipilih menerusi Parlimen dan proses demokrasi atau pilihan raya. Raja juga mempunyai beberapa peranan di luar demokrasi dalam tugasannya melaksanakan peruntukan Perlembagaan. Seperti disebut dalam sumpah jawatan, Raja hendaklah memerintah negara menurut peruntukan Perlembagaan, berpaksikan kedaulatan undang-undang, menegakkan keadilan serta menjaga agama Islam. Oleh itu, dalam menjaga keluhuran Perlembagaan, disebut dalam Perkara 130, Yang di-Pertuan Agong boleh rujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapat apa-apa soal kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit dan Mahkamah Persekutuan hendaklah umum pendapatnya mengenai apa-apa soal yang dirujuk di mahkamah terbuka. Ini menjadikan pandangan mahkamah telus dan bebas, sekali gus membantu Raja mendapatkan pandangan, seterusnya menjadi Raja Berperlembagaan berwibawa (Berita Harian, 11 April 2017)

 

YANG DIPERTUAN AGONG (YDPA)

‘Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang Dipertuan Agong yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15’. Ini adalah kenyataan dan keterangan perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menerangkan mengenai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan dan Permaisurinya.

Jawatan Yang Dipertuan Agong (YDPA) adalah satu jawatan baharu dan penting yang menyerupai jawatan ‘Ratu’ di England namun kuasa Ratu itu tidak berpunca daripada undang-undang tertinggi tetapi disokong amalan Perlembagaan sahaja. England juga tidak mempunyai undang-undang bertulis sebaliknya hanya Akta Parlimen sebagai undang-undang tertinggi. Jawatan Yang Dipertuan Agong tidak boleh diwarisi secara turun temurun kerana Malaysia bukanlah kerajaan beraja yang mutlak sebaliknya jawatan ini telah diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Manakala, pemilihan siapakah yang bakal bersemayam selama lima tahun menjadi YDPA pula adalah kuasa di kalangan “Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja” mengikut peraturan dalam Jadual 3 Perlembagaan Persekutuan. Manakala perlantikan seorang YDPA yang akan dibantu oleh seorang Timbalan YDPA pula, adalah pilihan dan persetujuan Majlis Raja-Raja (MRR). Isteri YDPA digelar Raja Permaisuri Agong dan mempunyai keutamaan selepas Yang di Pertuan Agong [Perkara 32(2)]. Yang Dipertuan Agong boleh meletakkan jawatannya pada bila-bila masa dengan mengutus surat yang ditandatanganinya kepada Majlis Raja-raja. Baginda juga boleh dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-raja. Dalam pada itu, jawatan Yang Dipertuan Agong yang dipegang itu akan terhenti jika baginda terhenti daripada menjadi seorang Raja.

Seperti yang telah diterangkan pada perenggan kedua, pemilihan YDPA dibuat oleh Majlis Raja-raja. Jadual Ketiga Perelmbagaan Persekututan dan Peraturan-peraturan Majlis Raja-raja telah menetapkan kaedah dan cara pemilihan YDPA. Antara ciri-ciri kelayakan yang termaktub dalam Jadual Ketiga pemilihan Yang Dipertuan Agong ialah (i) hanya Raja-raja sahaja yang boleh dipilih, (ii) hanya Raja-raja sahaja yang boleh mengundi dan (iii) Raja yang paling kanan dari segi pemerintahan hendaklah dipilih. Setiap Raja Melayu berkelayakan untuk dipilih menjadi YDPA melainkan atas tiga perkara, (i) baginda tidak cukup umur, (ii) memaklumkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (PMBRR) bahawa baginda tidak berhasrat untuk dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong atau (iii) Majlis Raja-raja mengambil ketetapan dengan undi sulit bahawa raja itu adalah tidak sesuai untuk menjalankan fungsi-fungsi Yang DiPertuan Agong asbab kegeringan, kelemahan akal atau sebab-sebab lain yang munasabah [Perkara 32(3)]. Ketetapan ini memerlukan undian sekurang-kurangnya lima ahli Majlis.

Pemilihan YDPA oleh MRR adalah melalui proses pengundian. Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan memberikan kertas undi kepada setiap raja. Sembilan undi rahsia dalam kalangan sembilan sultan dan raja-raja Melayu akan menandakan pendapatnya sama ada raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang Dipertuan Agong. Menurut Pakar Perlembagaan Dr Muhammad Fathi Yusof, pada pusingan pertama dulu, sistem penggiliran dibuat berdasarkan kekananan (senioriti), umur dan tempoh sultan memegang jawatan di negeri asal sebelum dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pada pusingan kedua pula, enam Sultan yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong mengikut urutan pusingan pertama seperti dipersetujui MRR setakat ini. Begitupun dari segi Perlembagaan, ia tidak mengikat MRR untuk mengikut urutan seperti pusingan pertama, sebab itu adanya undi rahsia dalam pemilihan Yang di-Pertuan Agong (My Metro, 8 Januari 2019). Calon itu mesti mendapat sekurang-kurangnya lima undi menyokong untuk melayakkan baginda terpilih menjadi Yang Dipertuan Agong. Setelah mendapat undi majoriti, maka raja yang menjadi pengerusi Mesyuarat Pemilihan akan menawarkan jawatan Yang Dipertuan Agong kepada baginda. Namun, sekiranya raja yang berjaya itu menolak tawaran sebagai Yang Dipertuan Agong atau pun jika gagal memperolehi undi majoriti, proses pengundian semula perlu dijalankan dengan mencalonkan nama raja yang kedua dari segi kekananan untuk diundi. Proses pemilihan itu hanya akan selesai setelah calon yang mendapat undi majoriti bagi jawatan Yang Dipertuan Agong menerima tawaran itu. Selepas itu baharulah Majlis Raja-raja akan mengisytiharkan baginda sebagai Yang Dipertuan Agong bagi tempoh lima tahun.

Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan di Pusat Kajian Fiqh, Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi menjelaskan, Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak semestinya boleh dilantik terus sebagai Yang diPertuan Agong walaupun pernah memangku tugas itu sebelum itu. MRR akan bersidang dan menentukan Sultan dari negeri mana yang akan dipilih serta dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong. Manakala, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz yang merupakan pakar Perlembagaan turut berpendapat, hanya MRR dan persetujuan sultan yang dipilih untuk menentukan siapa Yang di-Pertuan Agong baharu. Proses pelantikan Yang di-Pertuan Agong bergantung kepada budi bicara MRR mengikut Peraturan 32 dibaca Peraturan 38 dan ini adalah satu perkara yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya lagi, Timbalan Yang di-Pertua Agong tidak semestinya dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, ia hendaklah melalui proses ditetapkan perlembagaan dan undang-undang serta memerlukan pemilihan (My Metro, 8 Januari 2019). 

Menurut Perkara 34 Perlembagaan Malaysia, ketika seseorang Sultan/ Raja menaiki takhta YDPA, baginda tidak boleh menjalankan tugas-tugas di negerinya kecuali tugas-tugas selaku ketua agam Islam dalam negerinya, tugas dan kuasa yang berkaitan dengan pindaan perlembagaan negerinya serta tugas dan kuasa melantik seorang pemangku raja dan anggota-angota Majlis Pangkuan Raja. Perkara 34 juga turut menyatakan beberapa perkara lain yang tidak boleh dilakukan oleh seorang YDPA iaitu tidak boleh secara aktif terlibat dalam perniagaan, tidak boleh menerima emolumen daripada negeri Baginda, tidak boleh meninggalkan negara lebih daripada 15 hari tanpa persetujuan MRR kecuali atas lawatan rasmi dan juga tidak boleh memegang sebarang jawatan kerajaan.

Sejak merdeka sehingga ke hari ini, Malaysia telah melantik seramai 15 orang Sultan dan Raja secara bergilir-gilir untuk ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agong walaupun telah terdapat 16 YDPA di Malaysia. Hal ini kerana, pertabalan Al-Marhum Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah sebagai YDPA ke-14 pada tahun 2012, telah melakar sejarah baharu kerana baginda menjadi sultan pertama yang memegang jawatan sebagai YDPA sebanyak dua kali. Al-Marhum Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih menjadi YDPA kali pertama pada 21 September 1970 sebagai YDPA kelima. Manakala YDPA kali kedua disandang pada 13 Disember 2011 selaku YDPA ke-14. Satu-satunya YDPA yang menaiki takhta tanpa Raja Permaisuri Agong ialah Tengku Muhammad Faris Petra ataupun Sultan Muhamad V yang merupakan YDPA ke-15. YDPA pertama Malaysia ialah Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad yang telah berkhidmat bermula 3 Ogos 1957 sehinga 1 April 1960. Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pula adalah YDPA ke-16 sejak 31 Januari 2019 yang lalu sehingga ke hari ini. 

Sebelum bersemayam sebagai Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah terlebih dahulu dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019 hasil keputusan sebulat suara mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang. Baginda dimasyurkan bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah yang dilaporkan dalam keadaan gering dan tidak lagi boleh memikul tugas serta tanggungjawab sebagai pemerintah. Al-Sultan Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959, di Istana Mangga Tunggal Pekan adalah cahaya mata keempat dan putera sulung Sultan Ahmad Shah bersama Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad. Baginda pernah memangku jawatan Pemangku Raja Pahang ketika berusia 20 tahun pada 28 April 1979 semasa ayahanda baginda ditabal Yang di-Pertuan Agong pada 1979-1984. Pada 28 Disember 2016, baginda sekali lagi dipertanggungjawabkan menjadi Pemangku Raja Pahang sehingga 11 Januari 2019 setelah Sultan Ahmad Shah gering.

Sultan Abdullah yang dimasyhurkan Sultan Pahang keenam telah memakai gelaran rasmi sebagai Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Menurut Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, penggunaan perkataan 'Al' di hadapan nama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah adalah mengikut nahu Arab yang tepat. Tambahnya lagi, Al-Sultan Abdullah telah mempersetujui penggunaan nama itu kerana mengambil kira ketepatan nahu Arab, berbeza daripada kebiasaan orang Melayu yang terus menyebut 'Sultan'. Nama Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bermaksud ‘Sultan Abdullah Pembela Agama Yang Terpilih Oleh Allah’ adalah pemilihan baginda sendiri (BH Online, 17 Januari 2019).


Ini baharu bahagian pertama, bonda akan sambung dalam bahagian kedua di bawah tajuk:

Tugas-tugas YDPA

Di bahagian akhir penulisan ini,

bonda akan titipkan rujukan yang bonda buat dalam penulisan tugasan  ni.

Saturday, July 25, 2020

#PKP : Pelitup Muka Tuan-tuan Puteri

Assalamalaikum wbt.
Kurang lebih hampir dua minggu
anak-anak darjah 5 sehingga tingkatan 4
memulakan persekolahan.
Anak-anak darjah satu hingga empat baru tiga hari kembali bersekolah.

Alhamdulillah, menurut cerita anak-anak
tahap kepatuhan SOP dalam kawalan.
Tapi, tak semudah kata-kata kan?
Sehari lepas persekolah anak-anak darjah 1 hingga 4 bermula,
kita dibentangkan berita tiadanya penjarakan sosial
ketika balik sekolah.
Takpelah, kita tinggalkan cerita itu.............
di situ, huhuhu.

Sebagai seorang mama yang paranoid,
memanglahhh bonda kerisauan melampau.
Makanya,
seboleh mungkin bonda sediakan keperluan untuk
#putuskanrangkaianCOVID19.

Antara yang diperlukan untuk anak-anak ke sekolah ialah
FaceMask @ pelitup separuh muka.

Ini adalah facemask tuan-tuan puteri sejak bertahun.
Tuan-tuan puteri bonda ada facemask ni
masa Malaysia dilanda jerebu.
Berapa tahun ntah la, bonda pun lupa.

Ok, kisahnya facemask jingga dan pink ni ialah :
bonda letakkan butang (perhatikan butang 💗💙) pada tali di sebelah kiri.
so, tali sebelah kanan akan disekat pada butang sebelah kiri.
senang cerita nak bagi paham,
berfungsi macam butang baju kurung tu, haaaaaaa, clear tak? 😅😅😅



Yang bawah ni pula, lain kisahnya.
Kekdahnya, macam facemask extender.
Tapi bonda ubah sikit.
Sebelum jauh lagi bercerita, sikit la nak story.
Apa sahaja barang-barang tuan puteri berdua tu,
bonda akan asingkan mengikut warna kegemaran diorang.
1. supaya diorang sukakan juga pada barang-barang yang bonda DiY

2. Rasa kebertanggungjawaban pada barang peribadi masing-masing.
(sebab antara tuan-tuan puteri ni, memang ada yang culas menjaga barang,
kalau korang pandai cer teka 😂😂😂)



ok, kejadian dan rupa setelah siap dijahit.
bonda jahitkan facemask extender tu dalam tali sebelah kanan.

1. Bonda tak guna kekdah macam facemask pink dan jingga tadi sebab,
tali telinga facemask army ni agak pendek.
Ketat masa tuan-tuan puteri test guna pin.

2. Asbab dan kebarangkalian untuk hilang extender tu sangat tinggi.
Cara ini pada bonda sangat sesuailah untuk tuan-tuan puteri berdua tu.



ooOK! itu sahaja perkongsian bonda kali ni.
Semoga bermanfaat.

untuk semua,
bersama kita jaga kita
demi memutuskan rantaian COVID -19

Sunday, July 12, 2020

#BackToSchool : Rehat, Norma Baharu

Setelah 4 bulan
dari tarikh rasmi cuti sekolah penggal 1,
akhirnya 15 Julai 2020,
darjah 5 dan 6, tingkatan 1 hingga 4
akan memulakan sesi persekolahan
penggal 2 tahun 2020.

Ada rasa macam nak start sekolah awal tahun tak?😅😅😅
Almaklumlahhh, lama sangat cuti sekolah.
Segala baju sekolah, kasut dan keperluan pakaian sekolah
da cek ke belum tu?
Bukan apa, takut ada yang dah senteng,
berhuhuhu lah ya wahai ibu dan ayah.

Segalanya bermula dengan norma baharu 15 Julai ni.
Seawal kaki melangkah menjejak pagar sekolah
norma baharu pun bermula.
Suhu para pelajar akan diperiksa,
para pelajar perlu hadir dengan face mask.
Group whatsapp kelas tuan-tuan puteri
telah disertakan videoa norma baharu pembukaan sekolah
yang bakal menjelang ni.

Jika dulu, para pelajar dilarang
berada dalam kelas pada waktu rehat
namun tidak lagi di era PKP ini.
Para pelajar bukan sahaja dituntut
berada di dalam kelas pada waktu rehat
malahan perlu makan di meja masing-masing.

Jujurnya, bonda tiada masalah
dengan norma baharu waktu rehat
tuan-tuan puteri.
 
Sedari 2019, bonda memang mengutamakan
#bentoinsyimanhafiz.

Kalau sesiapa nak tengok
koleksi #bentoinsyimanhafiz,
boleh search # tersebut di instagram.



di antara gambat koleksi bento tu,
ada juga terselit 1 2 menu di rumah
selain hal keje bonda 🤭🤭🤭



antara menu #bentoinsyimanhafiz ialah :
*** sandwich telur + coeslow
*** megi goreng
*** macaroni bakar
*** agar-agar lumut gula merah
*** kuih ketayap
*** kuih cara berlauk + cheese
*** sosej + ayam celup tepung
**** salad macaroni
*** roti telur
*** cucur jagung



*** lempeng inti coklat
*** spagheti carbonara
*** karipap frozen
*** ayam celop tepung + coeslow + blackpapper sauce
*** bihun goreng
*** ayam gunting + coeslow + blackpapper sauce
*** kuih ketayap

selepas gambar kuih ketayap tu,
tauan-tuan puteri dah bermula cuti sekolah luar jangka,
cuti musim COVID namanya, huhuhu...



Nampak tak???
ada je menu yang bonda ulang siar.
Kadang-kadang buntu juga nak buat bento apa.

Bila bonda buntu,
tanya terus dengan tuan-tuan puteri
nak makan apa?
Bonda cuma sediakan seadanya.
Ada masa dia orang macam Mr. Papa gak,
apa-apa je lahhh
Adoiii, asa nak hempuk kepala je, huhuhu
kita tanya sebab buntu,
dia orang balas jawapan klisye.

Jangan tanya resepi tau,
bonda jenis menderhaka resepi
dan sejenis tak rajin nak rekod
step by step setiap kali masak.
Maafkan kemalasan bonda ini.
Namun, semoga entry ni bermanfaat ya.


p/s :
Nurul Iman naik sekolah 22 Julai dan
dah request menu chicken chop
untuk hari pertama persekolahan dia.
Jomlah kita, buat blackpapper sauce.

Tuesday, July 7, 2020

#PKP : DiY Face Shield

اسلام عليكم ورحمة الله...

Sekolah dah nak buka?
Dah bersedia ke wahai ibu dan ayah?
😓Huhuhu...

Ok, bonda nak share sikit cara bonda hadapi
tuan-tuan puteri yang akan bersekolah pada 15 dan 22 Julai ni.

Bonda DiY face shield untuk tuan-tuan puteri.


Bahan-bahan :
1) Span
2) Kertas [ikut la nak print apa pun]
3) Getah
4) Plastik Laminate saiz A5.
*
1 hingga 4 yang utama

5) Mesin laminating
6) Jarum, benang dan gunting.

 

ini rupa dan kejadian setelah dilaminate
kertas tu terletak elok.

Asbab bonda laminate agak kertas tu terpelihara dari basah dan rosak.
hujung entry bonda ada story.

Kalau tiada mesin laminate, boleh juga guna iron.
atau pun, korang boleh pergi kedai stationery,
ada juga yang menyediakan perkhidmatan laminate.
.
Kenapa bonda bezakan warna?
Sebab senang tahu siapa punya antara dua beradik ni.
pink kegemaran si kakak
biru kegemaran si adik.

Pandai lah dia orang jaga sendiri nanti.



Da laminate dan lekatkan span,
bonda tebuk lubang untuk masukkan getah dan jahit.
.
Maaf, bonda lupa nak snap keadaan menampal span.
Bonda lekatkan span pada plastik menggunakan gam pistol



Masukkan getah pada lubang yang telah ditebuk tadi dan jahit.
Jahitan adalah untuk mengukuhkan getah.
Inilah asbab bahan nombor 6 pada gambar nombor 1 :
jarum, benang dan gunting.
.
Gambar atas rupa sebelah dalam
manakala gambar bawah,
gambaran dari depan.



Maka, siap sudah DiY Face Shield untuk tuan-tuan puteri.

Dekat atas sebelah dalam  plastik tu ,
bonda tulis nama anak-anak guna maker pen dan kelas.

Sebenarnya, since 1 Julai pon diorang da pakai face shield
yang bonda DiY juga.
Ini kiranya sedikit inovasi dari bonda 😉.



Ini plastik laminating yang bonda gunakan.



#kitajagakita face shiled yang pertama bonda buat untuk dua beradik tu.
Guna plastik cover folio.
kertas tu, bonda stapler je sebab double sided tiada
Harap Mr. Mama beli berjaman nunggunya😂😂😂
Bonda pula tergedik-gedik nak bagi projek siap segera.
Getah hitam pon main lekat je, huhuhu.
Takpa, dah diinovasikan yang baru.
Yang pertama tu banyak kelemahan,
2 kali Nurul Iman bagi getah hitam tercabut.
Itu sebab bonda jahit yang diinovasikan tu.



Selamat mencuba.
Semoga anak-anak kecil kita sentiasa dilindungi malaikat
untuk setiap langkah mereka pergi menuntut ilmu.

Semoga virus COVID-19 yang masih belum ditemui penawarnya ini,
berlalu pergi seiring penurunan kes dalam Malaysia.


Designed by UMIESUEstudio 2014 FOR INSYIMANHAFIZ