TUGAS-TUGAS YANG DIPERTUAN AGONG
Yang
Di-Pertuan Agong adalah ketua negara Malaysia yang menjadi punca kepada segala
kuasa. Selain berperanan selaku ketua negara, YDPA juga adalah ketua bagi
raja-raja dan Majlis Raja-raja. Segala kuasa pemerintahan YDPA adalah
berpandukan Perlembagaan yang menjadi lambang kedaulatan undang-undang yang
merupakan tunggak perpaduan. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, YDPA merupakan
ketua kepada tiga fungsi pemerintahan iaitu (i) fungsi perundangan, (ii)
fungsi eksekutif dan juga (iii) fungsi kehakiman yang dibatasi
oleh Perlembagaan. Oleh kerana kuasa YDPA termaktub dalam Perlrembagaan, YDPA dineknali
sebagai Raja Berperlembagaan dan menjalankan kuasanya menurut Perlembagaan dan
undang-undang Persekutuan. Selain itu, dalam Perkara 40 (2) secara khusus
dinyatakan YDPA mempunyai kuasa budi bicara terhadap perlantikan Perdana
Menteri, pembubaran Parlimen dan meminta untuk diadakan Mesyuarat Majlis
Raja-raja.
(i) Fungsi
Perundangan
Perkara
40 (2b) menyatakan, YDPA berkuasa memanggil Parlimen bersidang, menangguh dan juga
membubarkan Parlimen. Termaktub dalam
Perkara 60, YDPA boleh bertitah dalam Majlis Parlimen untuk merasmi/ membuka
sidang atau kedua-dua dewan secara bersama mahupun berasingan. Perkara 66 (4),
(4a), (5) dan (6) serta Perkara 68, YDPA adalah diperlukan untuk meluluskan
undang-undang di Parlimen, sebelum satu Rang Undang-Undang (RUU) hendak
diwartakan dan menjadi undang-undang yang sah.
(ii)
Fungsi Eksekutif
Selain
berfungsi kepada Parlimen dari segi perundangan, YDPA juga turut
bertanggungjawab kepada cabang paksi pemerintahan yang dinamakan badan
Eksekutif seperti diperuntukkan dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan
Malaysia (Malaysia, 2011: 47). Lazimnya, badan eksekutif ini merujuk kepada
Kabinet ataupun Jemaah Menteri. Oleh itu, berpaksikan Perkara 39 dan Perkara 40
Perlembagaan Persekutuan, YDPA berkuasa melantik Perdana Menteri,
Menteri-menteri, duta dan lain-lain jawatan pentadbiran untuk menjalankan
pemerintahan negara bagi pihaknya. Namun bidang kuasa YDPA hanya layak
melucutkan jawatan Menteri-menteri tetapi tidak jawatan Perdana Menteri -
Perkara 43 (5). Perkara
40 (1) pula menyatakan YDPA adalah berhak, atas permintaannya mendapat apa-apa
maklumat mengenai pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah
Menteri. Namun, segala tindakan YDPA yang dibatasi Perlembagaan Persekutuan ini
dilaksana dengan nasihat Perdan Menteri.
(iii)
Fungsi Kehakiman
Merujuk
Perkara 122, YDPA adalah berkuasa untuk melantik Ketua Hakim Negara,
Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim-hakim Besar dan Hakim Mahkamah Tinggi. Selaku
pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), YDPA juga berkuasa bagi
mengampun dan menangguhkan hukuman-hukuman mengenai kesalahan yang telah
dibicarakan di Mahkamah Tentera, kesalahan sivil di Wilayah Persekutuan dan
hukuman yang dijatuhi oleh Mahkamah Syariah di negeri-negeri YDPA bertindak
sebagai Ketua Agama Islam, Perkara 42 (1).
Selain bertanggungjawab kepada Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman, YDPA juga merupakan ketua agama bagi empat negeri yang tidak beraja iaitu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak serta tiga wilayah persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan. Perkara 153 (1) pula menyatakan YDPA juga adalah bertanggungjawab memelihara, melindungi dan menjaga hak-hak kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut perlembagaan. YDPA juga adalah berkuasa mengisytiharkan darurat dan memperkenalkan undang-undang darurat.
Bersambung ke tajuk Sultan & Raja Melayu
No comments:
Post a Comment