Followers

Wednesday, November 12, 2014

Hingga Titisan Dakwat Terakhir

                    Namaku Biru. Aku dilahirkan di sebuah kilang membuat alat tulis di negara Malaysia. Setelah siap diproses, aku dibungkus di dalam sebuah kotak bersama ribuan rakan yang serupa rekaannya dengan diriku. Selepas dibungkus, kami dihantar ke sebuah kilang. Di sana, badan-badan kami telah dicetak dengan jenama Faber-Castell.


-lakonan semula-
                    
                    Aku diperbuat daripada plastik. Badanku diisi dengan cecair berwarna biru yang dipanggil dakwat. Setelah itu, badanku disarung dengan baju yang berwarna jernih, dipakaikan kasut bewarna biru serta diberikan topi juga bewarna biru. Pada hujung badanku terdapat satu mata yang dipanggil mata pena. Mata penaku bersaiz 0.7. Maka, siap sempurna sudahlah diriku sebagai sebatang pen.

                    Dari sebuah kilang, aku dan rakan-rakan ditempatkan di sebuah gudang. Kemudian, kami dihantar ke sebuah stor. Aku pasti, ini adalah stor alat tulis kerana di dalam stor tersebut, terdapat kertas kajang, pensil, pemadam, kertas A4 double A dan bermacam-macam lagi alat tulis yang tidak terkira banyaknya pada pandanganku. Berkampunglah kami semua di situ.

                    Pada suatu hari, aku serta rakan-rakan yang sekotak dengan ku telah dikeluarkan dari stor tersebut. Kami dibawa oleh seorang lelaki berkaca mata dan berkopiah putih ke sebuah pejabat. Sepanjang perjalanan ke pejabat lelaki tersebut, kami telah menaiki kereta dan melalui jambatan Pulau Pinang yang pertama. Indah tidak terperi pengalaman ini bagiku. Dari dalam kenderaan kami dibawa keluar dan menaiki lif ke aras empat sebuah pejabat. Ini juga satu pengalaman baru bagiku iaitu menaiki lif. Setelah dipunggah, aku dan kawan-kawanku telah dimasukkan ke dalam sebuah almari besi kemudian pintu almari itu ditutup. Maka, gelap gelita dunia kami buat seketika. Dari dalam almari tersebut, kami hanya menerima sedikit cahaya dari celahan pintu. almari. Setiap hari pintu almari besi ini pasti akan dibuka tetapi mereka yang membuka pintu almari itu tidak pula mengambil diriku atau rakan-rakanku sebaliknya mengambil sampul surat yang pelbagai saiz, fail kulit putih, sampul kecil yang bewarna kuning ataupun kertas minit. Mereka semua adalah rakan-rakanku sepanjang aku berada dalam almari besi itu. Setiap helai yang keluar pasti akan tersenyum girang sambil mengucapkan selamat tinggal kepada kami yang masih setia dalam almari besi tersebut. Mereka bangga kerana dapat berkhidmat. Aku perhatikan sampul surat sangat berkepentingan dalam pejabat tersebut.

                    Hari demi hari berlalu dengan pantasnya. Setelah sekian lama bermastautin di dalam almari tersebut, pada suatu hari pintu almari besi itu dibuka seawal pagi. Maka terpancullah seorang wanita berpakaian seragam sedang mencari-cari sebatang pen. Wanita tersebut mengambil beberapa batang pen untuk diuji cuba dakwatnya. Diriku tidak terkecuali berada dalam genggaman tangan wanita tersebut. Setelah menguji cuba dakwat aku dan rakan-rakanku, akhirnya aku menjadi pilihan wanita tersebut. Dari dalam bilik stor, ak dibawa keluar berjalan sehingga ke meja wanita tersebut. Seusai sampai di meja tuan baruku, aku terus digunakan. Aku berasa bangga kerana dapat berkhidmat untuk tuan baruku. Tuan aku telah meletakkan label nama -INTAN- di atas badanku yang ditulis di atas secebis sticker bewarna putih. Aku berfikiran, nama tuan baruku adalah INTAN.

                    Menurut cerita dari tuan aku kepada rakan sepejabatnya, seandainya aku tidak dilabelkan pasti aku telah hilang. Seronok rasanya apabila dapat berkhidmat sepenuhnya kepada tuan aku. Setiap hari tuan aku akan menggunakan aku. Kadang-kadang aku diselit di dalam diari untuk dibawa menghadiri mesyuarat. Setelah tamat waktu pejabat, aku pasti akan berehat dengan senang lenang kerana esok aku akan terus berkhidmat untuk tuan aku.

                    Darah biru aku semakin hari semakin berkurangan. Aku risau kerana suatu hari nanti pasti aku tidak lagi dapat berkhidmat untuk tuan aku. Apa yang aku takuti akhirnya terjadi. Kini, setelah beberapa bulan berkhidmat dengan  tuan aku akhirnya darah biruku kehabisan jua. Inilah dikatakan berkhidmat sehingga ke titisan dakwat yang terakhir.
-aku sebatang pen-



                    Sebelum aku dibuang ke dalam bakul sampah, aku dapat melihat rakan seangkatan ku telah dibawa keluar dari almari besi untuk berkhidmat dengan tuan ak. Seperti juga aku, rakanku juga telah dilabelkan oleh tuan aku tapi, aku dapat melihat tarikh pada label tersebut. Mungkin tuan aku ingin mengira jangka hayat rakanku. Bertuahnya badan sahabatku itu, kerana jangka hayatnya dicatatkan oleh tuan aku.


                    Terima kasih puan cantik kerana menggunakan aku sehingga titisan dakwat terakhir serta menjagaku sebaik mungkin. Buat sahabatku, berkhidmatlah dengan sebaik mungkin kerana tuan kita sangat dedikasi orangnya. Begitulah tamatnya kisahku sebatang pen yang berjasa. Kini, aku telahpun dibuang ke dalam bakul sampah.
-tamatlah riwayat aku, sebatang pen-


#nangiscikguBMbacekaranganbonda
#hilangsudahskillmengarang
#iniadalahceritabenar

2 comments:

Nita Hanita said...

salam singgah...ini karangan masa upsr...ingat lagi kena tulis karangan seperti ini...

bondalesungpipit said...

E-ta : Hahaha...ni karangan darjah 6 versi mak2 sgt...hehehe

Designed by UMIESUEstudio 2014 FOR INSYIMANHAFIZ